Friday, July 11, 2014

Selangor Memberi Kupon Sebanyak RM 100 Seorang Kepada Warga DUN Pelabuhan Kelang Selangor Yang Layak.




KLANG, 10 JULAI: Seramai 250 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang menerima bantuan kupon raya bernilai RM100 setiap seorang sempena program Jom Shopping Raya tajaan Kerajaan Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata sumbangan itu bertujuan meringankan beban penerima bagi membuat persiapan menjelang Aidilfitri, di samping dapat melaksanakan ibadah puasa dengan lebih ceria dan sempurna.

Katanya, Kerajaan Negeri menetapkan sejumlah 500 kupon untuk diagihkan kepada penerima yang layak di DUN berkenaan, namun hanya sebahagian yang hadir menerima kupon berkenaan.

“Manakala, penerima selebihnya khususnya dari kampung yang agak jauh seperti Pulau Indah dan Teluk Gong, pejabat saya akan menghantar surat kepada penerima berkenaan. Saya jelskan perkara ini kerana khuatir ada pula penerima yang berkecil hati apabila nama mereka tidak tersenarai pada hari ini (semalam).

“Sumbangan ini adalah sebagai antara dorongan dan galakan moral Kerajaan Selangor terhadap pembangunan rohani serta jasmani penduduk di negeri ini,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Kupon Jom Shopping di Masjid Ar-Rahman, Pandamaran Jaya, dekat sini, semalam.

Tradisi mengembalikan hasil negeri kepada rakyat diteruskan lagi apabila Kerajaan Selangor memperuntukkan RM2.8 juta dalam Program Jom Shopping Raya kali ini.

Sama seperti tahun lalu, program itu disasarkan bagi meringankan warga emas dan golongan kurang berkemampuan membuat persediaan menyambut hari raya.

Selain Jom Shopping Raya, program seumpamanya turut dijalankan iaitu Jom Shoping Tahun Baru Cina dan Jom Shopping Deepavali.

Pada masa sama, Abdul Khalid berkata, usaha Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 sememangnya memberikan pelbagai bantuan untuk meringankan pendapatan dan meringankan kos sara hidup pelbagai lapisan masyarakat majmuk di negeri itu.

Katanya lebih 20 program, skim dan insentif bagi faedah majmuk rakyat Selangor sedang dilaksanakan melalui dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

“Sebanyak RM1.5 bilion sudah kita belanjakan bagi menjayakan program MES, yang mana penerima faedahnya kini melebihi tiga juta orang. Dasar MES adalah untuk semua lapisan masyarakat dan kebanyakan bantuan ini, kita berikan setiap bulan kepada penerima yang layak,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..