Pada pukul 3.35 petang, seorang pemberi pinjaman wang berusia 43 tahun yang juga bapa kepada tiga orang anak sedang memandu bersendirian dekat sebuah pusat beli belah apabila didatangi empat lelaki yang menaiki motosikal.
"Mereka mendekati kereta mangsa dekat lampu isyarat. Seorang penembak pergi ke arah kiri kereta dan seorang lagi di sebelah kanan sebelum melepaskan beberapa das tembakan," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner (SAC), Rusdi Mohd Isa pada sidang media di Balai Polis Setapak.
Beliau berkata penembak di sebelah kanan kereta mangsa melepaskan tiga hingga empat tembakan manakala 12 lagi tembakan dilepaskan seorang lagi suspek.
Kesemua suspek melarikan diri menggunakan motosikal selepas insiden itu.
Siasatan mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, badan dan kaki.
Difahamkan mangsa dalam perjalanan untuk bertemu saudara di kawasan berhampiran.
"Ahli keluarga mangsa mengesahkan identitinya," kata Rusdi.
Ketika ditanya sama ada tembakan itu berkaitan kumpulan tertentu, Rusdi berkata 'ada kemungkinan'.