Mustafar (kanan) turut sama dalam operasi terbabit bersama Hadzwan (tengah) sambil disaksikan Ketua
Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat.
KLANG - Tindakan seorang lelaki bergelar Datuk memaksa 172 pekerjanya
yang terdiri daripada penduduk tempatan dan warga asing bekerja 17 jam
sehari dengan gaji serendah RM200 sebulan sejak setahun lalu terbongkar
selepas pihak berkuasa menyerbu premis pemprosesan dan pemasaran burung
walit, semalam.
Dalam serbuan pukul 11 pagi itu, selain menahan lelaki berusia 29
tersebut, pihak berkuasa turut merampas beberapa dokumen termasuk
pasport milik pekerja terbabit
Ketua Pasukan Petugas Khas Majlis Anti Pemerdagangan Orang Kementerian
Dalam Negeri, Deputi Superitenden Hadzwan Zulkefle berkata, operasi
bersepadu tersebut adalah hasil risikan selama tiga minggu.
“Hasil pemeriksaan mendapati, kesemua pekerja berusia 18 hingga 30
tahun itu telah dipaksa bekerja lebih daripada 17 jam dengan bayaran
gaji tidak setimpal serendah RM200.
“Mereka juga dikecualikan daripada cuti umum serta dikenakan potongan
gaji walaupun mempunyai sijil sakit daripada doktor,” katanya.
Menurut Hadzwan, semasa serbuan dibuat terdapat seorang pekerja wanita
berusia 20 tahun telah pengsan disebabkan keletihan bekerja.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali yang ditemui
berkata, pemilik premis serta pekerja ditahan untuk siasatan
selanjutnya.
“Sebahagian terlibat jadi mangsa pemerdagangan, dan selebihnya terlibat dalam penyalahgunaan pas lawatan sosial.
“Kita lihat ada unsur-unsur eksploitasi dalam siasatan ini termasuklah
gaji tidak dibayar dan lain-lain. Ini adalah satu tindakan bertentangan
dengan undang-undang,” katanya.
Seorang pekerja yang mahu dikenali sebagai Tyas berkata, dia
dimaklumkan tentang kerja kosong di premis terbabit melalui kenalannya
di Indonesia.
“Dia beritahu saya akan dapat gaji RM900 gaji pokok. Kalau saya bekerja
lebih masa dua jam sehari, saya akan diberikan tambahan gaji sebanyak
RM338.
“Selepas sampai sini, ia bertukar sebaliknya dan kerja-kerja yang saya
lakukan terpaksa dibuat dengan tempoh masa yang lebih panjang dari
kebiasaan,” katanya.