Saturday, March 30, 2019

Hanya bertahan 3 bulan, Ning Baizura tutup restoran


Ning Baizura tutup restoran Tudung Periuk.
PENYANYI Ning Baizura memberitahu restoran Tudung Periuk yang dibuka sekitar Mei tahun lalu hanya mampu bertahan tiga bulan sahaja.
Ning, 44, berkata, penutupan restoran itu disebabkan masalah tukang masak dan lokasi yang tidak strategik.
“Sepanjang tiga bulan itu kami mendapat sambutan yang baik pada siang hari tapi pada malam hari tiada pengunjung. Lokasi itu tidak strategi untuk orang datang pada waktu malam,” ujarnya kepada mStar Online.


Ning rancang buka restoran baru di Bangsar.
Bagaimanapun, Ning berkata, dia mempunyai perancangan untuk membuka semula restoran berkaitan makanan dan minuman di lokasi yang lebih sesuai.
“InsyaAllah ada perancangan nak buka restoran di kawasan Bangsar dan restoran itu berkonsepkan muzik.
“Saya mahu restoran atau kafe itu juga memberi ruang kepada rakan-rakan artis untuk membuat persembahan,” ujarnya.

Thursday, March 28, 2019

Saya hampir hilang kerja” - Penari lapor polis malu diviralkan, dituduh bersubahat bawa lari kenalan


Farra Nadia terkejut dituduh bersubahat membawa lari seorang kenalan yang juga kekasih abangnya.
"BUKAN saya yang culik!" Itu respons seorang penari sambilan apabila dituduh bersubahat melarikan kenalannya sendiri, seorang gadis berusia 19 tahun.
Perkara ini tular di media sosial apabila abang kepada gadis hilang berkenaan, Farhana Abdul Razak, memuat naik bebenang di Twitter berkongsi insiden kehilangan adik perempuannya, pada Isnin.
Sehari selepas itu (Selasa), satu lagi posting yang dimuat naik lelaki itu tular apabila dia meminta bantuan orang ramai untuk mencari dua individu, seorang pemuda dan seorang gadis kerana didakwa mempunyai kaitan dengan kehilangan Farhana.
Farra Nadia Abdul Kadir, 17, berkata, dia bersama lelaki yang juga rakan sekerjanya amat terkejut apabila tiba-tiba dituduh menculik gadis berkenaan hanya kerana mereka menjadi individu terakhir berjumpa dengannya.
"Individu yang tuduh saya menculik adalah abang kepada Farhana. Dia viralkan saya di laman sosial kerana menyangka saya berkomplot melarikan adik perempuannya.
"Mungkin dia syak saya sebab Farhana ada pinjam telefon saya untuk WhatsApp ibunya sebelum menghilangkan diri. Saya bagi dia pinjam pun sebab dia cakap nak call ibunya kerana telefonnya hilang. Saya ni taklah kejam, jadi saya bagi sajalah.
"Tak sangka kena macam ni. Keluarga dia tuduh saya dan dua lagi kawan kerja saya menculik anak mereka sampai diviralkan muka kami dalam Instagram dan Twitter. Mana boleh mereka tuduh kami macam tu," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.
Sejak Isnin lalu, bebenang yang dikongsi akaun dengan tweethandle @thatsiameseguy menjadi perhatian netizen yang bimbang dengan keselamatan gadis itu yang dikatakan sudah dua hari tidak pulang ke rumah disyaki dilarikan beberapa individu.

Seorang lelaki memuat naik posting berhubung kehilangan adik perempuannya dengan beberapa keping gambar dengan kapsyen 'Wanted', merujuk kepada individu yang disyaki menculik.
Perkongsian itu menerima sehingga hampir 15,000 ulang kicau dengan lebih 2,800 tanda suka di laman Twitter sejak ia dimuat naik pada Ahad lalu.
Mengulas lanjut mengenai insiden itu Farra Nadia berkata dia juga terkejut apabila menerima panggilan daripada ibu gadis itu, memaklumkan kehilangan anak perempuannya, sehari selepas dia hilang, pada Sabtu.

Lebih parah apabila keluarga gadis itu turut didakwa mengganggu dan mengugut mereka dengan pelbagai cara.
"Mereka ada call dan tanya mengenai Farhana tapi saya tak tahu nak jawab macam mana sebab saya memang tak tahu di mana dia berada.
"Tak puas hati dengan jawapan saya, mereka viralkan tuduh saya dengan kawan lain culik Farhana. Sampai letak gambar muka kami di Twitter. 
"Sampai dekat live Instagram pun orang panggil kami penculik. Siapa tak geram. Kami pun tahu malu. Orang lain boleh nilai sendiri ini kes culik atau tidak," ujarnya.
Dalam pada itu, Farra Nadia memberitahu dia pernah beberapa kali cuba menghubungi abangnya yang juga kekasih Farhana, namun usahanya itu menemui jalan buntu.
"Saya ada juga cuba contact abang dan Farhana tapi mereka dua-dua tak dapat dihubungi. Kali terakhir kami berjumpa pada Sabtu lalu di Kuala Perlis. Ketika itu Farhana berpakaian seperti biasa dan hanya bawa beg tangan. Tak nampak pula beg besar.
"Lagipun saya tak pernah rapat dengan Farhana kerana kami tak sekepala walaupun dia kekasih abang saya, kami jarang berjumpa," dakwanya lagi.

Farra Nadia membuat laporan polis susulan tuduhan culik yang dilemparkan terhadapnya.
Selain itu tambah Farra Nadia, tuduhan melulu yang dilemparkan terhadapnya merupakan suatu tuduhan yang sangat berat sehingga menyebabkan dia nyaris kehilangan kerjanya sebagai penari dangdut.
"Saya bekerja sambilan sebagai penari, sekadar nak tambah-tambah duit belanja meringankan beban ibu. Nak ikutkan malam ni kami ada rehearsal untuk acara akan datang tapi ada cakap-cakap penganjur macam dah tak mahu ambil kami lagi. Penganjur marah-marah sebab kes ni.
"Saya dah tak tahan dan malam tadi saya buat laporan polis kerana tindakan mereka ini menyebabkan saya hampir hilang kerja. Perbuatan tidak bertanggungjawab mereka ni sudah menutup periuk nasi saya dan rakan-rakan lain juga turut terpalit.
"Saya cuma kasihankan ibu saya. Kerana ibu bekerja di Kuala Lumpur dan saya pula duduk di Perlis. Dia terkejut tiba-tiba keluar cerita macam ni," katanya yang juga aktif di akaun TikTok.

Wednesday, March 27, 2019

Pelajar Malaysia disenarai pendek dalam anugerah fotografi berprestij dunia

Pelajar Malaysia disenarai pendek dalam anugerah fotografi berprestij dunia

Salah satu foto karya Hayati.
SEORANG pelajar Malaysia berjaya menempatakan diri dalam senarai pendek bagi pertandingan Anugerah Fotografi Dunia Sony 2019.
Nur Hidayati Abd Rahim, 20, dari Fakulti Media Kreatif, Universiti Multimedia, tersenarai bersama 10 jurugambar muda yang lain untuk pertandingan berprestij itAN
Untuk kategori pelajar, peserta perlu mennghasilkan tiga hingga lima siri foto berdasarkan tema "EVolution".
image: https://video.unrulymedia.com/native/images/in-art-close-icon-128x128-16481b937f87b244a645cdbef0d930f8.png
–– ADVERTISEMENT ––

Di sini, Hidayati disenarai pendek untuk siri pertamanya, Rural Life di Urban World.
Susulan itu, dia dan sepuluh pelajar lain yang disenarai pendek menerima kamera Sony, yang mana mereka mencipta karya kedua berdasarkan tema "Belong".
Siri kedua, berjudul Soul of The Wild, memberi tumpuan kepada keharmonian antara manusia dan haiwan.
Dalam siri ini, Hidayati menggambarkan remaja muda bernama Muhammad Syukur Khamis, yang digelar "Mowgli Malaysia" dan "Kampung Boy".
Syukor berasal dari sebuah bandar kecil berhampiran Kuala Terengganu dan membesar dikelilingi dengan binatang-binatang di ladang ternakan ayahnya.
Susunan Nur Hidayati berjaya memotrer interaksi dan ikatan unik antara kerbau dan remaja berkenaan.
"Idea ini sangat mencabar kerana saya perlu mencari momen yang sesuai dengan tingkah laku haiwan dengan Syukor.
"Saya bukan orang yang cukup berani untuk menyentuh haiwan ini atau mendekati mereka. Walau bagaimanapun, saya cuba mengatasi kelemahan sedikit demi sedikit untuk menangkap saat-saat yang indah ini.
"Saya mengambil sudut yang lebih rendah daripada Syukor dan kerbaunya untuk memberi gambaran lebih banyak kesan.
"Saya menghadapi kesukaran daripada cuaca yang tidak diingini; Hujan lebat menjadikan saya lebih sukar untuk mengambil gambar yang saya mahu,"katanya.
Dianjurkan oleh Pertubuhan Fotografi Sedunia, Anugerah Fotografi Dunia Sony yang diiktiraf di peringkat antarabangsa merupakan salah satu daripada lekapan yang paling penting dalam kalendar fotografi global.
Sebagai salah satu pertandingan fotografi dunia yang terbesar dan paling berpresti, anugerah tahunan itu meraikan serta mempromosikan fotografi kontemporari terbaik dari tahun lalu merentas pelbagai jenis genre.
Seramai 326,997 penyertaan daripada 195 negara dan wilayah telah diserahkan ke empat kategori tahun ini.
Pemenang gelaran "Jurufoto Pelajar Tahunan" alan diumumkan pada 17 April depan.
Pelajar yang berjaya juga akan menerima peralatan pengimejan digital Sony bernilai RM30,000 (RM 138,313.66) untuk institusi yang diwakili mereka. - The Star.

Tuesday, March 26, 2019

Wow !! Kedai 'sepi' pelanggan tular sebab makanannya sedap, 'meriah' bahan... terus pakcik Cina Muslim tak menang tangan!

Kedai 'sepi' pelanggan tular sebab makanannya sedap, 


Kedai Abdullah Lim menjadi viral baru-baru ini. Foto: Balqis Sidiqia
PERNIAGAAN adalah salah satu lubuk rezeki demi meneruskan kehidupan, namun keikhlasan dalam menjalankan perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah kerana peniaga perlu berkira-kira soal untung dan rugi.
Baru-baru ini tular di laman Twitter kisah seorang peniaga Cina Muslim, selepas seorang pengguna Twitter @BalqisSidiqia memuat naik beberapa gambar kedai dan hidangannya, gara-gara kagum dengan kelembutan tutur kata dan sikap baik hati pemiliknya, Abdullah Lim Ah Tee.
Menurut posting tersebut, walaupun kedai makan itu nampak 'sepi' pelanggan, tukang masaknya tidak kedekut bahan dan hidangan yang sampai ke meja bersaiz besar selain rasanya sebenarnya sangat sedap.
Walaupun tidak laris seperti gerai-gerai lain, Abdullah Lim masih mampu menawarkan minuman percuma kepada pelanggan.
Abdullah Lim, 72, berkata dia terkejut selepas kedainya yang terletak di Jalan Tengkera, Melaka itu mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan yang datang dari seluruh pelusuk negeri.
"Biasanya budak-budak sekolah sekitar sini saja yang makan di kedai saya.
"Selepas saya dapat tahu seorang pengguna Twitter viralkan kedai ini, Alhamdulillah ramai yang datang dan saya tak menang tangan... sampai tak sempat nak makan sebab nak dahulukan pelanggan," ujarnya ketika dihubungi mStar Online.


Salah satu maklum balas daripada pelanggan yang datang ke kedai Abdullah Lim selepas ia tular.
Menurut Abdullah Lim, dia sebelum ini bekerja sebagai penarik beca dan kemudian membuka perniagaan ini pada April 2016.
"Saya terdetik hati ingin berniaga selepas peluk Islam pada tahun 2010. Saya ingin berniaga makanan khas buat pelanggan yang ingin mencuba makanan Cina Muslim. Menu-menu pilihan mereka selalunya wan tan hor, heong tai bihun dan chicken chop. 
"Kedai saya biasanya buka pada pukul 9 pagi dan saya akan tutup selepas barang-barang habis," katanya yang juga berasal dari Tengkera, Melaka.
Menerusi posting yang tular itu, Abdullah Lim juga dikatakan hampir meninggalkan kedainya semata-mata mahu membeli tisu apabila diminta dua pelanggannya itu.
Dia juga menunjukkan kesungguhan untuk cuba membantu mereka berdua mendapatkan GrabCar sebelum pulang.

Salah satu menu di kedai Abdullah Lim iaitu wan tan hor.
Menceritakan tentang pengalamannya berniaga selama lebih dua tahun ini, Abdullah Lim berkata: "Saya tak ambil pekerja. Selalunya saya sendiri yang akan mengambil pesanan, saya tukang masak dan jaga kaunter di sini.
"Isteri dan anak tiri saya juga ada menolong setiap kali saya memerlukan pertolongan. Saya harap selepas ini ramai yang akan datang sini mencuba pelbagai menu yang ditawarkan," katanya.
Dalam pada itu, posting berkenaan berjaya meraih lebih 43,000 ulang kicau dan hampir 15,000 tanda suka, menunjukkan usaha murni pemegang akaun Twitter berkenaan untuk membantu Abdullah Lim membuahkan hasil.


Posting di Twitter yang tular baru-baru ini.
Rata-rata netizen turut memberi sokongan dengan menyatakan hasrat untuk datang ke kedai berkenaan.
"Kebetulan saya di Melaka, tengah cari jalan ke sana yay," tulis @_hayatihusni.
"InsyaAllah saya akan cuba makanan tersebut bila saya datang Malaysia," tulis @_Georgia16.
"Okay, nanti saya pergi bawa suami dan mak semua hehehe," tulis @ReenLAminuddin.

Perghh !!!! Cium wartawan semasa temu bual, juara heavyweight dikecam

Cium wartawan semasa temu bual, juara heavyweight dikecam



Perbuatan Pulev dikecam netizen.

PETINJU Kubrat Pulev dikecam selepas mencium seorang wartawan semasa sesi temu bual selepas kemenangannya pada malam Sabtu lalu.
Juara heavyweight itu ditemu bual wartawan tinju berpengalaman, Jenny Sushe mengenai kejayaannya menewaskan lawannya, Bogdan Dinu.
Sushe bertanya kepada Pulev mengenai peluang bertemu dengan Tyson Fury sebelum petinju berusia 37 tahun itu tiba-tiba memegang wajahnya lalu menciumnya.
Perlakuan tidak senonoh itu menyebabkan sesi temu bual itu ditamatkan dan Pulev berlalu pergi.
Akibatnya Pulev yang sudah berkahwin dikritik hebat peminat sukan tinju di media sosial.
Pulev menundukkan lawannya, Dinu.
Rata-rata netizen menyifatkan insiden itu sebagai serangan seksual.
Ia bukan kali pertama bintang sukan dikritik kerana tidak menghormati wartawan wanita.
Pulev menandatangani kontrak bersama Top Rank pada Disember lalu dalam usaha untuk menaikkan reputasinya selepas prestasi tidak menentu dalam kategori heavyweight.
Atlet kelahiran Bulgaria itu disebut-sebut bakal bertemu lawannya Tyson Fury. - Metro.co.uk

Monday, March 25, 2019

Tedia !!! Gerak-geri Tarrant diperhatikan 24 jam, tidak dibenar bertemu pelawat Isnin,



Tarrant dihadapkan ke mahkamah pada 16 Mac lalu.
PENGGANAS warga Australia yang membunuh 50 jemaah di dua masjid di Christchurch dipindahkan ke sebuah penjara jauh dari kawasan bandar.
Brenton Harrison Tarrant, 28, kini dipercayai ditahan di Paremoremo, seksyen kawalan keselamatan maksimum Penjara Auckland.
"Kami bekerjasama rapat dengan agensi lain untuk memindahkan tahanan ini dengan selamat selepas dia hadir di sebuah mahkamah di Christchurch," kata jurucakap penjara pada Ahad.
Terdahulu Tarrant ditahan di Persint Keadilan dan Perkhidmatan Kecemasan di Christchurch, sebuah bangunan yang merangkumi balai polis dan mahkamah.
The New Zealand Herald melaporkan Tarrant diterbangkan ke Auckland oleh Angkatan Pertahanan NZ.


Tarrant dilihat menunjukkan simbol OK semasa dihadapkan ke mahkamah.
Beberapa syarat ketat dikenakan terhadap suspek insiden pembunuhan kejam di Masjid al Noor dan Masjid Linwood semasa jemaah sedang menunaikan solat Jumaat pada 15 Mac lalu.
Tarrant didakwa atas pertuduhan membunuh tetapi lebih banyak pertuduhan akan menyusul selepas ini.
"Suspek diasingkan daripada tahanan lain dan gerak-gerinya akan diperhatikan 24 jam sama ada secara langsung oleh kakitangan atau melalui kamera CCTV.
"Pada waktu ini, dia tidak mempunyai akses kepada televisyen, radio atau surat khabar. Pelawat juga tidak dibenarkan untuk melawat suspek," kata jurucakap penjara.
Tarrant dijangka dihadapkan ke semula ke mahkamah pada 5 April depan. - Perthnow

Wow !!! Thirah kutip daun kering, bunga tepi longkang, ubah jadi karya yang sangat cantik!

Thirah menunjukkan contoh karya 'floating flowers' yang dihasilkannya.

PADA pandangan mata orang lain, tumbuhan yang hidup di tepian longkang mungkin tiada apa yang istimewa.
Namun tidak bagi Fathirah Athirah Hasnor, 25, yang menganggap bunga liar yang tumbuh di tepi longkang dan parit itu cukup indah untuk diabadikan menjadi sebuah karya seni.
Ketika menjejakkan kaki ke halaman rumahnya yang terletak di Batang Kali, Hulu Selangor, senyuman manis anak perempuan tunggal daripada empat beradik itu menyambut mesra kedatangan penulis.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Landskap dari Universiti Putra Malaysia tersebut menjemput penulis melihat ruang kerjanya yang terletak di bengkel bersebelahan rumah.

Thirah menghasilkan karya 'floating flowers' di bengkel berhampiran rumahnya.
“Di sinilah saya menyiapkan ‘floating flowers’ bila ada masa terluang,” katanya yang menumpang bengkel kerja bapa saudaranya.
‘Floating flowers’ itu diperbuat daripada bunga-bunga atau dedaun kering yang ditekan (press) menggunakan buku atau papan sehingga ia menjadi rata sebelum disusun di atas lapisan kaca untuk dibingkaikan.
Ketika ditanya tentang sumber inspirasi untuk menghasilkan karya tersebut, pelajar yang mesra disapa Thirah itu berkata, semuanya tercetus selepas dia gemar mengumpul bunga-bunga liar yang dijumpai ketika bercuti ke pelbagai destinasi.


Karya ini juga tampak lebih menarik apabila diselitkan dengan kata-kata pujangga.
“Saya suka alam semula jadi dan sebelum ini kalau ternampak daun atau bunga liar yang cantik-cantik ketika bercuti di luar negara, saya akan kutip dan bawa balik ke Malaysia.
“Kemudian, terlintas di fikiran untuk bingkaikan bunga-bunga ini, tapi saya tak tahu caranya.
“Tengok harga bingkai dekat kedai agak mahal, jadi saya cari idea di Pinterest dan terjumpa idea macam ini. Ia murah dan bahan-bahanya mudah diperoleh,” katanya kepada mStar Online.
Tambah Thirah, dia menggunakan kaca segi empat sama bersaiz 15 sentimeter, B5 dan A4 untuk menghasilkan ‘floating flowers’ tersebut.

Selain Pinterest, artis yang sering menjadi rujukan Thirah adalah pemilik akaun Instagram @kmpress, Karly Murphy dari Virginia, Amerika Syarikat yang sering tampil dengan idea unik dalam setiap karyanya.
Bagi mahasiswa ini, hobi tersebut bukan sahaja boleh membuatkan dirinya lupa seketika dengan tekanan yang ditempuh sepanjang meneruskan pengajian, malahan menjadi satu bentuk eskapisme yang memberikan kepuasan tersendiri.
“Cara ini buat saya lebih menghargai alam sekitar memandangkan saya sendiri ada latar belakang pendidikan dalam bidang seni bina landskap.
“Kebanyakan bunga-bunga ni saya tidak petik kerana nanti terbit rasa serba-salah, saya hanya akan ambil bunga atau daun yang sudah gugur.
“Bagi saya bunga liar itu cantik, walaupun ada yang tak pandang sebab tumbuh di tepi longkang, setiap bunga ada kecantikan sendiri,” ujarnya.


Thirah menyusun bunga-bunga kering di atas papan kaca sebelum ia dibingkaikan menggunakan pita pelekat gangsa.
Menurut pelajar itu lagi, hobi tersebut turut mengajarnya lebih mengenali karakter setiap bunga dan daun yang ada dalam simpanannya.
Kata Thirah: “Ada sesetengah jenis bunga tak sesuai untuk kita press. Kadang-kadang ia akan berlumut atau berkulat, daripada situ kita lebih kenal karakter tumbuhan itu.
“Ada beberapa cara juga nak press bunga, saya biasa gunakan buku-buku yang tebal dan papan penekan yang saya direka sendiri.”
Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan ‘floating flowers’ ini, harga yang ditawarkan oleh Thirah adalah serendah RM15 hingga RM50 seunit.
Hasil seni ini amat sesuai buat mereka yang mencari kelainan untuk memberikan hadiah kepada individu tersayang.

Sunday, March 24, 2019

Bawa watak pelacur dalam 'Nur 2', Azar Azmi sedia


Azar sudah bersedia untuk dikecam menerusi drama Nur 2 yang bakal ditayangkan pada April depan.
PELAKON Azar Azmi sudah bersedia untuk menerima sebarang kecaman atau kritikan mengenai wataknya sebagai Juita menerusi drama Nur 2 yang bakal ditayangkan April depan.
Azar atau nama sebenarnya Siti Azar Ameerah Azmi, 30, berkata dia menganggap segala kecaman itu merupakan kejayaan watak yang dibawanya.
"Nak kecam, kecam la! Saya tak kisah. Kalau mereka nak kecam dan sampai membenci saya, maknanya saya berjaya la bawa watak Juita itu.
image: https://video.unrulymedia.com/native/images/in-art-close-icon-128x128-16481b937f87b244a645cdbef0d930f8.png
–– ADVERTISEMENT ––
image: https://video.unrulymedia.com/native/images/unmiss-sound-button-muted-e74d67a0c85c3548f07d7564782a269c.svg

"Memang pada mulanya agak gementar sebab tak pernah bawa watak sebegitu. Watak Juita ni memang lain daripada yang lain. Saya bersedia untuk dikecam.

Azar tidak kisah dikecam gara-gara membawa watak sebagai pelacur.
"Sebab memang tak boleh nak elak pun. Kalau berjaya bawa watak itu ke atau tidak berjaya, orang tetap akan kecam kan," kata Azar kepada mStar Online.
Azar ditemui ketika Mek Kembang Cotton Raya Fashion Show yang diadakan di Ampang Glasshouse, Kuala Lumpur pada baru-baru ini.
Dalam pada itu, pelakon yang mula popular menerusi drama Pujaan Hati Kanda ini menegaskan apa yang bakal penonton lihat dalam drama itu hanya sekadar watak sahaja.
"Diri saya adalah diri saya sendiri. Pada saya, untuk bawa satu watak itu perlu mengikut apa yang ditentukan. Kalau perlu jadi miskin, penampilan kena ikut seperti orang miskin.

Azar gementar pertama kali membawa watak seperti Juita.
"Untuk watak Juita ini, tak kan saya nak pakai baju kurung pula. Tak sesuai. Apa yang bakal penonton tengok itu hanya sekadar tuntutan watak," ujarnya.
Drama yang pernah menjadi fenomena pada tahun lalu itu menampilkan watak baharu seperti Juita lakonan Azar bakal bertemu penonton pada April depan di TV3.
Drama arahan Shahrulezad Mohameddin itu turut dibintangi pelakon utama seperti Amyra Rosli, Syafiq Kyle, Azhar Rani, Noorkhiriah dan ramai lagi.

Saturday, March 23, 2019

Perghh !!! Wanita maut tercekik biskut kek ketika berlatih untuk cabaran makan


Gaskin (tengah) meninggal dunia lima hari selepas tercekik makanan.
SEORANG ibu muda meninggal dunia gara-gara  ingin mencuba berapa jumlah bilangan biskut kek yang dapat dimakannya.
Bethan Gaskin,24, rebah dan berhenti bernafas apabila cuba mengeluarkan biskut kek yang dimakannya.
Kejadian berlaku di rumahnya di Bourne, Lincolnshire pada 22 Februari lalu dan dia dihantar ke hospital.
Gaskin yang bekerja sebagai pakar terapi kecantikan itu mengalami serangan jantung dan meninggal dunia lima hari kemudian.
Ibunya, Michele,52, tampil memberi amaran betapa bahayanya melakukan cabaran pertandingan makan.
"Saya hanya mengangkat kening apabila melihat Bethan mulakan permainan itu, dan berfikir 'berapa usia anda?'. Saya menyuruhnya keluarkan makanan itu.
"Ketika dia dibawa ke hospital, kami sedar sudah kehilangannya," ujarnya.
Gaskin terlantar di hospital selama lima hari dan doktor memberitahu bahawa dia turut mengalami kerosakan otak.
Ahli keluarga berkumpul memberi penghormatan kepadanya pada 27 Februari lalu.
"Dia kelihatan cantik dan sempurna. Dia seperti sedang tidur," tambah Michele sayu.-Dailymail.co.uk