Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan Badan Perhubungan UMNO Negeri menolak penyatuan ummah antara Perikatan Nasional dan Barisan Nasional (BN) dalam pembentukan kerajaan negeri Pahang.

UMNO dan BN yang menang 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebaliknya bersetuju bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang dimonopoli DAP yang menang hanya lapan kerusi, berbanding Perikatan Nasional (17 kerusi).

Menurut Tuan Ibrahim beliau berbincang dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi membentuk kerajaan bersama Perikatan Nasional dan BN.

“Oleh kerana DUN Pahang tergantung, dan pembentukan kerajaan negeri tidak dapat dilakukan, usaha dibuat bagi mencari jalan supaya ianya diselesaikan sebaik mungkin.

“Bagi Perikatan Nasional kami melihat bahawa perlunya muafakat dua parti besar iaitu BN dan Perikatan Nasional bagi membentuk Kerajaan Negeri Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga ADUN Cheka itu berkata pertemuan pertama turut dihadiri Naib Presiden PAS Datuk Idris Ahmad.

“Dalam pertemuan itu kami bersedia menawarkan kerusi menteri penuh kepada Wan Rosdy dengan melantiknya sebagai Senator, sekiranya Perikatan Nasional membentuk kerajaan Pusat, jika beliau berminat atau dia kekal sebagai Menteri Besar.

“Walaupun dia mempunyai 16 kerusi dan Perikatan Nasional, 17, tetapi kami pertimbangkan untuk jalan penyelesaian bahawa pembentukan Kabinet atau Exco Pahang adalah sama banyak iaitu 50 Perikatan Nasional dan 50 BN.

“Oleh kerana beliau ditawarkan jawatan Menteri Besar, maka kami mencadangkan jawatan Speaker DUN diberi kepada Perikatan Nasional, manakala Timbalan Speaker (BN).

“Timbalan Menteri Besar ataupun Timbalan kepada Menteri Besar adalah daripada Perikatan Nasional. Manakala Exco lima daripada BN dan lima daripada Perikatan Nasional. Selain itu kita cadangkan tiga kerusi ADUN dilantik daripada Perikatan Nasional dan dua daripada BN,” katanya lagi.

Tuan Ibrahim berkata Wan Rosdy memaklumkan bahawa PH juga menawarkan kepada beliau kerusi Menteri Besar.

Menurutnya pertemuan kedua diadakan dengan Perikatan Nasional bersedia berkompromi dengannya bagi mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan ummah.

Katanya beliau dimaklumkan bahawa mesyuarat Badan Perhubungan BN Pahang memutuskan bahawa BN kekal bersama PH Pahang.

“Yang di-Pertuan Agong bersama Pemangku Raja Pahang telah pun memanggil kami berdua untuk bertemu di Istana Negara. Dalam pertemuan itu saya jelaskan bahawa pendirian kami daripada PPerikatan Nasional, bersetuju supaya kerusi Menteri Besar diberi kepada BN, tetapi dengan kapasiti lima Exco daripada Perikatan Nasional dan lima daripada BN.

“Bagaimanapun Wan Rosdy maklumkan pada Tuanku bahawa Perhubungan UMNO membuat keputusan untuk bekerjasama dengan PH dan menolak Perikatan Nasional. Tuanku minta supaya kami bincang lagi kali terakhir kerana baginda melihat bahawa perlunya kerjasama semua parti.

“Tapi dalam pertemuan terakhir di Syahzan dengan Tuanku Agong bersama dengan Pemangku, kami diberitahu bahawa Wan Rosdy maklumkan pada kami kalaupun Perikatan Nasional ingin bersama, dia hanya menawarkan satu kerusi Exco sahaja.

“Dan saya memaklumkan kepada Tuanku bahawa kami menolak disebabkan Perikatan Nasional mempunyai 17 kerusi, sedangkan PH yang ada lapan kerusi diberi dua jawatan Exco. Jadi saya rasa ini sangat tidak adil dan kita buat keputusan bahawa kita kekal sebagai pembangkang,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata dengan penjelasan itu beliau yakin masyarakat dapat mengetahui bagaimana proses perundingan sebanyak tiga kali diadakan dengan Wan Rosdy bagi mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan ummah model negeri Pahang.

Berikut adalah ADUN Perikatan Nasional di DUN Pahang:

  • Tuan Ibrahim Tuan Man – Cheka;
  • Ustaz Zakuan – Tahan;
  • Zuridan Mohd Daud – Damak;
  • Ustaz Yohanis – Pulau Tawar;
  • Shahril Azman Abdul Halim Alhafiz – Jengka;
  • Jasri Jamaludin – Kuala Sentul;
  • Mohd Yazid Mohd Yunus – Lepar;
  • Ayub Ashri – Sungai Lembing;
  • Andasura Rabu – Beserah;
  • Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya – Panching;
  • Ustaz Rosli Abdul Jabar – Inderapura;
  • Rafiq Khan – Pulau Manis;
  • Mohd Sofian Abdul Jalil – Luit;
  • Ustaz Mujibur Rahman – Chenor;
  • Hassanuddin Salim – Kuala Semantan;
  • Hasan Omar – Lanchang; dan
  • Ustaz Nazri – Bukit Ibam.

ADUN UMNO:

  • Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail – Jelai;
  • Mustapa Long – Padang Tengku;
  • Abdul Aziz Mat Kiram – Batu Talam;
  • Datuk Seri Soffi Razak – Benta;
  • Fadzli Mohamad Kamal – Dong;
  • Rodzuan Zaaba – Jenderak;
  • Syed Ibrahim Syed Ahmad – Kerdau;
  • Johari Harun – Pelangai;
  • Sabariah Saidan – Guai;
  • Khaizulnizam Mohamad Zuldin – Kemayan;
  • Mohd Sharim Zain – Chini;
  • Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff;
  • Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif – Inderapura;
  • Mohamad Nizar Najib – Peramu Jaya; dan
  • Razali Kassim – Muadzam Shah.

ADUN PH:

  • Tanah Rata – Ho Chi Yang (DAP);
  • TRAS – Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (DAP);
  • Bilut – Lee Chin Chen (PKR);
  • Ketari – Su Keong Siong (DAP);
  • Mentakab – Woo Chee Wan (DAP);
  • Triang – Leong Yu Man (DAP); dan
  • Semambu – Chan Chun Kuang (DAP).