Perikatan Nasional akan terus memberi perkhidmatan kepada rakyat dan berbakti kepada negara, kata Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional berkata parti gabungan itu telah berusaha sedaya upaya membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Sehubungan itu, Abdul Hadi berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membuktikan sokongan sebenar yang beliau terima.

“Kita telah berusaha sedaya upaya. Seterusnya Perdana Menteri perlu membuktikan sokongan sebenar yang diterima.

“Kepada rakyat, kami akan terus berkhidmat. Kepada negara, kami akan terus berbakti,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Terdahulu, Muhyiddin menggesa Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen bagi menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri.

Ini kerana, katanya Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan bahawa Anwar mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Demi keyakinan rakyat akan keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, adalah sewajarnya beliau membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Ini hendaklah dibuktikan melalui proses yang telah ditetapkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam surat bertarikh 20 November 2022, iaitu dengan mengemukakan surat akuan berkanun majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Muhyiddin menjelaskan beliau menerima 114 SD Ahli Parlimen yang menyokongnya, iaitu 73 Ahli Parlimen Perikatan Nasional; 22 daripada GPS; GRS (enam); KDM (satu); Barisan Nasional (10) dan Bebas (dua).

Mengulas lanjut, Abdul Hadi mengingatkan kepada rakyat khasnya penyokong Perikatan Nasional bahawa segala yang berlaku telah berlaku, dan pasti ada hikmahnya.

Namun katanya, apa yang penting bagi Perikatan Nasional ialah jujur kepada rakyat, bersabar, dan tetap istiqamah.

“Segala yang berlaku telah berlaku, pasti ada hikmahnya. Yang penting kita jujur kepada rakyat, bersabar, dan tetap istiqamah. Terima kasih kepada rakyat atas sokongan tidak berbelah bahagi,” katanya.

Kemelut pemilihan Perdana Menteri Ke-10 berakhir setelah Anwar diumumkan sebagai pemimpin nombor satu negara sekali gus mengangkat sumpah hari ini.