Sunday, September 18, 2011

Hebat......Demonstrasi tiga chef



BERTEMPAT di Taman Melawati, Kuala Lumpur, sambutan Hari Keluarga oleh Sunway Rydgeway berjalan penuh lancar selama dua hari. Biarpun dilangsungkan dengan penuh kesederhanaan, acara-acara yang disediakan tetap menceriakan keluarga-keluarga yang membeli unit banglo di situ.

CHEF JEAN-JACQUES sudah sebati dengan hidangan tempatan.

Dengan tema East Meets West, hari pertama program tersebut menyaksikan pertembungan chef terkemuka tanah air, Chef Ismail dengan chef dari Perancis, Chef Jean-Jacques Butynska.

Para tetamu turut berpeluang menyaksikan secara langsung demonstrasi masakan kedua-dua chef tersebut dan seterusnya merasai sendiri hidangan yang disediakan.

Begitu juga dengan slot hari kedua program itu, Jean-Jacques masih dikekalkan tetapi, kali ini dia digandingkan pula dengan Chef Florence Tan.

Mula berjinak-jinak dalam dunia memasak seawal umur 16 tahun, makanan tradisi Melayu bukan lagi asing buat Jean-Jacques kerana dia sudah didedahkan dengan juadah tersebut selepas berkahwin dengan isterinya, seorang warga Malaysia berbangsa Cina.

“Saya masih lagi belajar tentang makanan Malaysia dan pengalaman bertemu kedua-dua chef tempatan ini amat menguntungkan saya.

“Juadah Malaysia sememangnya berbeza daripada masakan Perancis terutama tahap kepedasan dan bahan-bahan yang digunakan.

“Mungkin kedengaran pelik tetapi saya amat menggemari masakan pedas. Jadi, saya tiada masalah bereksperimen dengan makanan Malaysia,” ujar peminat laksa itu.

Hijrah Jean-Jacques ke Malaysia secara tidak langsung turut mengubah teknik masakan yang dipraktikkan selama ini bagi mengikuti kesesuaian budaya masyarakat tempatan.

CHEF FLORENCE menunjukkan bakatnya dalam menyediakan juadah istimewa di hadapan penghuni kejiranan Taman Melawati.

Masih mengintai peluang untuk membuka restoran sendiri di Kuala Lumpur, chef berusia 47 tahun itu mempelajari penyediaan masakan tempatan daripada bapa mertuanya.

“Jika sebelum ini saya akan menggunakan wain dalam masakan tetapi kini saya menukarnya kepada cuka,” jelasnya lagi.

4 comments:

Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..