Projek memburuk-burukkan pembangkang dengan jutawan George Soros -- seperti yang dilaporkan meluas oleh media sekarang -- telah dirancang oleh sebuah jabatan khas Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sejak pertengahan tahun ini.
Melalui sebuah buku tebal Panduan Penjelasan Isu Semasa terbitan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim didakwa mendapat dana spekulator mata wang dunia itu bagi menghadapi pilihan raya umum.
Dengan menonjolkan beliau sebagai ejen Yahudi Zionis, Soros melalui Institut Masyarakat Terbuka (OSI) didakwa mendanai Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) yang disertai Anwar.
"... Anwar merupakan antara ahli majlis eksekutif ICG ... sebahagian besar (pemimpin) dalam ICG adalah berbangsa Yahudi," buku setebal 322 halaman itu dipetik.
"Soros mengkritik tindakan kerajaan Malaysia dan membela Anwar semasa beliau didakwa atas (tuduhan) salah guna kuasa."
Hubungan Soros-Anwar ini dimuatkan dalam bab "Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) dan hubungan Zionis", satu daripada 22 bab yang disusun bagi menjawab isu dan program yang dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat sehingga Jun lalu.
Bagi menggambarkan perhimpunan "BERSIH 3.0 itu kotor" pula, Anwar didakwa memulakan huru-hara pada 28 April lalu dan beliau sendiri disokong oleh ahli parlimen Australia yang pro-hubungan seks sejenis.
Soros (kanan) menjadi perhatian semula sejak awal bulan lalu apabila kerajaan mempertikaikan dana NGO hak asasi Suaram yang dikaitkan dengan jutawan tersebut.
Ia disusuli laporan konsisten media-media pro-kerajaan yang mengaitkan dana Soros dengan sejumlah NGO lain termasuk pendesak pilihan raya bebas BERSIH dan portal berita Malaysiakini.
Dana berjumlah ratusan juta ringgit itu kononnya untuk "menggugat" kerajaan. Ekoran itu, kumpulan NGO berkenaan mengugut untuk menyaman New Straits Times yang memuatkan laporan tersebut di muka depannya.
Baru-baru ini pula, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan "undi untuk Pakatan Rakyat bermakna undi untuk Soros" dengan alasan beliau mendalangi usaha "pertukaran regim" di negara ini dalam pilihan raya umum nanti.
Isu-isu lain yang dimuatkan dalam buku panduan ini termasuklah kontroversi Pusat Fidlot Nasional, himpunan BERSIH 3.0, pemerolehan Scorpene, loji pemprosesan nadir bumi Lynas, program Buku Jingga, kematian Teoh Beng Hock, durian runtuh Felda dan penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGV), tuntutan pelobi pendidikan Cina Dong Zong dan kritikan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..