PM: Jangan kerana satu dua nyamuk, kelambu dibakar
"Tidak semestinya sudah 55 tahun, bererti sudah sampai masanya untuk berubah (dasar dan kerajaan)? Adakah 55 tahun, masa untuk berubah. Ataupun kita memilih kesinambungan?
"Dan kita melakukan kesinambungan. Saya menyambut apa yang Tun Dr Mahathir Mohamad buat yang melakukan proses pemodenan, Wawasan 2020 dan melakarkan proses negara maju.
"Beliau mengumumkannya, saya mengisi visi itu... Sebab itu kita boleh (lakukan)... Kalau kita terjatuh, tak apa kita bangun balik," kata Najib sewaktu merasmikan perhimpunan agung Parti Progresif Penduduk (PPP) di ibunegara hari ini.
Turut hadir ialah Dr Mahathir dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Dalam ucapannya Najib membidas pembangkang yang membawa slogan "Ubah" yang dianggapnya dalam sistem politik terbuka sebagai slogan "popular" semata-mata.
Malah, Najib yang juga pengerusi BN mendakwa pembangkang tidak mempunyai "persefahaman fundamental" untuk mengurus rakyat dan negara dengan baik dan sekaligus tidak mahu nasib seperti rakyat di negara timur tengah yang berdepan dengan 'Arab Spring.
"Tetapi (dalam) soal ubah, adakah kita mendapat yang terbaik. Sebagai contoh (rakyat)dalam (peristiwa) Arab Spring, mereka tidak merasai musim bunga, kerana masih dalam salji.
"Musim bunga dan panas belum sampai. Ekonomi mereka terumbang ambing. Industri pelancongan dahulunya maju, hari ini lumpuh, kedai tak ada pelanggan. Pekerja hari-hari lap meja kerana tidak ada pelancong.
"Nilai mata wang mereka jatuh, keselamatan tidak terjamin dan pelajar kita (dalam) kebimbangan," katanya.
Oleh sebab itu, katanya, ucapan beliau sewaktu Perhimpunan Agung Umno beberapa hari lalu, beliau menegaskan kemenangan BN adalah untuk destini rakyat dan Malaysia pada masa akan datang.
"Adakah mereka (pembangkang) mengambil berat Wawasan 2020... Mereka ada agenda tersendiri.
"Sebab itu kita bercakap kepada rakyat, BN tidak akan membuatkan rakyat kecewa," katanya sambil mengakui BN sebelum ini ada kelemahan dan beliau memohon maaf, dan sekaligus telah membuat dengan lebih baik.
Katanya, antara pencapaian yang dicapai ialah pertumbuhan ekonomi negara yang meninngkat, pertambahan pelaburan domestik, tersenarai 20 negara terbaik, dan destinasi beli belah yang keempat terkenal di seluruh dunia.
"Jadi kenapa nak perjudian masa depan kita, dan masa depan generasi akan datang dengan risiko.
"Undi untuk pembangkang, adalah undi untuk masa depan yang tak tentu. Undi untuk BN, adalah undi untuk masa depan yang lebih baik.
"Sebagai PM, saya berjanji akan melakukan yang terbaik untuk negara kita, membantu dengan adil dan saksama supaya semua rakyat dapat faedah pada masa akan datang," katanya di hadapan kira-kira 4,000 perwakilan dan hadirin di Dewan Merdeka PWTC.
Menurutnya lagi, kerajaan akan memastikan dasar-dasar kerajaan memenuhi aspirasi dan ia boleh dihayati rakyat.
"Tetapi jangan kerana marah kepada nyamuk, kelambu dibakar. Jangan kerana satu, dua nyamuk, kita kata keseluruhan (dasar) tidak baik. Jangan!
"Sebab kita dalam proses perubahan, dan ia sedang mengambil tempatnya. Dan perubahan ini dibawa oleh BN," katanya.
Dalam ucapannya juga, Najib turut menggesa supaya setiap parti komponen berada dalam "sifar problem" termasuk soal dalaman parti bagi memastikan kesepaduan dan persefahaman BN menentang pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang.
"Jika hubungan (sesama kita) tidak ada masalah besar, Insya-Allah BN akan menang besar dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.
Katanya, selepas perhimpunan agung Umno berakhir semalam, beliau menegaskan parti itu telah "bertenaga semula" untuk meneruskan perjuangan dalam pilihan raya itu.
Bahkan, beliau juga berharap PPP juga berada dalam situasi yang sama bagi menjadikannya sebagai kekuatan kepada BN untuk memastikan "keberhasilan dan outcome yang tuntut oleh rakyat" dapat dicapai.
Pm.oh.pm.bertenang..sebelum berperang.
ReplyDelete