Zahid: 133,000 MyKad hilang dalam tempoh 3 bulan
23 Mei 2013
PUTRAJAYA - Kehilangan 133,000 MyKad dalam tempoh tiga bulan iaitu dari Januari hingga Mac tahun ini menimbulkan kebimbangan kepada kerajaan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menyifatkan jumlah itu agak tinggi, Ahmad Zahid berkata kehilangan MyKad, walaupun tidak disengajakan, menyebabkan ia boleh diguna untuk tujuan jenayah.
"Apa yang membimbangkan kami ialah jika kehilangan itu mempunyai kaitan dengan sindiket. Kami khuatir MyKad ini diguna untuk pelbagai tujuan terutama jenayah," katanya kepada pemberita selepas melawat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini hari ini.
Beliau berkata sekiranya siasatan mendapati ada sindiket terlibat dalam menghilangkan MyKad dan menggunakannya untuk tujuan jenayah dan sebagainya, JPN perlu mengambil langkah-langkah pencegahan dan pemantauan bagi menyelesaikan masalah itu.
"Saya yakin JPN mampu menyelesaikan masalah itu agar tidak berterusan," katanya.
Ahmad Zahid berkata bayaran denda mungkin akan ditingkatkan terhadap individu yang menghilangkan MyKad selepas ini.
"Saya minta Ketua Pengarah JPN mencadangkan (bayaran denda) kepada KDN dan saya akan bawa ke kabinet untuk mendapatkan pandangan dan kelulusan daripada kabinet," katanya.
Pada masa ini denda kehilangan MyKad bagi kali pertama ialah RM100, RM200 kali ke-2 dan RM300 bagi kehilangan kali ke-3. - Bernama
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..