Wednesday, March 5, 2014

Perghhh...Anwar pula Jadi Orang kuat Drebar Texi

Pemandu kereta sewa Kajang lantik Anwar penaung, tuntut penyelarasan kadar tambang

Tidak tahan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, Persatuan Kebajikan Pemandu Kereta Sewa Daerah Hulu Langat semalam menuntut Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) segera melaksanakan penyelarasan kadar tambang seperti dijanjikan dua tahun lalu.
Pengerusinya, Karnail Singh (gambar), berkata kehidupan pemandu teksi kini bertambah kritikal dengan peningkatan harga barang dan kos operasi.
"Hidup pemandu kereta sewa memang susah, kita kerja macam lembu 24 jam hanya untuk mencari rezeki menyara keluarga dan sekarang ia semakin sukar," katanya yang mengibaratkan kehidupan pemandu teksi seperti "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang".
"Kita terpaksa bersaing dengan pemandu teksi bermeter, dan dengan kenaikan kos sara hidup dan kos operasi yang sangat tinggi, ditambah lagi dengan kos penyelenggaraan dan insurans, semua itu memerlukan wang," katanya kepada media selepas program sepetang bersama pemandu teksi yang dihadiri calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kajang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Pada program itu, tuntutan supaya kadar tambang kereta sewa diselaraskan merupakan antara beberapa perkara yang ditekankan persatuan tersebut.
Karnail berkata, persatuan kereta sewa yang ditubuhkan hampir lima tahun itu turut kecewa apabila kebajikan pemandu teksi seringkali dipinggirkan pihak berkuasa.
Sehingga kini, katanya, pemandu kereta sewa masih gagal menerima perlindungan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
"Kalau hendak bawa satu teksi, anda kena fikir 10 kali kalau tidak ada insurans, Perkeso. Jadi kalau kita mati, mati katak, bagaimana dengan keluarga kami," katanya.
Katanya, kali terakhir pegawai Perkeso mengunjungi persatuan itu ialah dua tahun lalu.
"Mereka ada datang, bukan tidak pernah. Namun, lepas itu senyap, kita tidak tahu kenapa pelan perlindungan Perkeso untuk pemandu kereta sewa terhenti begitu saja," katanya.
Persatuan yang mempunyai 120 ahli itu mengharapkan Anwar sebagai calon di Kajang dapat memberikan "cahaya perubahan" dan membela nasib pemandu kereta sewa.
Dalam program petang semalam, Karnail juga mengumumkan pelantikan Anwar sebagai penaung persatuan tersebut.
"Kita berharap dengan kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menegakkan keadilan dengan memberi cahaya membawa perubahan nasib pemandu kereta sewa," katanya.
Anwar dalam ucapannya memberi jaminan bahawa sekiranya Pakatan Rakyat mentadbir Putrajaya, masalah pemandu teksi akan selesai dengan mudah.
"Saya memahami masalah mereka dan akan buat yang termampu untuk membela nasib mereka, kerana polisi kerajaan Pakatan adalah adil, dan dasar (lama) kita boleh ubah.
"Dengan Umno, kita tahu siapa yang untung dan janganlah kamu bimbang. Mungkin kamu miskin tapi kamu punyai maruah. Tidak guna menjadi kaya kalau kamu kaya dengan curi harta orang," kata Anwar. - 5 Mac, 2014.

No comments:

Post a Comment

Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..