Sunday, July 6, 2014

Pemuda UMNO Malaysia terkejut, kenyataan Ku Nan


KUALA LUMPUR: Walaupun Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan sudah berusaha untuk membantu golongan gelandangan untuk beberapa tahun, masalah itu tetap berleluasa.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata pihaknya membantu golongan gelandangan tersebut dengan harapan masalah tersebut akan berkurangan.

“Kita turun padang dan ingin mengurangkan beban golongan gelandangan ini dan kami berharap mereka akan berdikari tetapi kami tidak sangka ia akan berulang.

“Oleh kerana itu, kami menyokong tindakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengarahkan Soup Kitchen supaya tidak beroperasi dalam lingkungan 2 km dari Lot 10, Bukit Bintang,” katanya kepada Astro AWANI.

Mohd Razlan berkata ini adalah tindakan yang tepat untuk memperbaiki imej Kuala Lumpur.

“Ini tidak bermaksud kami tidak akan membantu golongan ini. Ini hanya bermaksud bantuan kepada golongan ini hanya akan dibuat di tempat-tempat tertentu seperti tempat ibadat dan ia tidak akan diteruskan,’ katanya.

Sebelum ini, dalam satu kenyataan, Mohd Razlan berkata banyak usaha telah dilakukan kerajaan untuk membantu golongan gelandangan dan pengemis, namun disebabkan sifat mudah mengalah mereka program itu gagal.

"Rekod sebelum ini pernah menunjukkan golongan gelandangan dan pengemis cukup sifat iaitu bukan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang masih bertenaga pernah diberikan bantuan pekerjaan oleh agensi kerajaan.

"Tetapi ada di antara mereka berputus asa dan meninggalkan peluang pekerjaan yang diberikan.

"Kemudian mengharapkan sumber pendapatan lebih mudah dan cepat dengan mengemis semula tanpa perlu membanting tulang empat kerat," katanya.

Razlan berkata, gelandangan yang mempunyai masalah mental dan menghidapi HIV juga turut diberikan perhatian khusus oleh pelbagai agensi terlibat sehingga kini.

Katanya, pelaksanaan zon sifar gelandangan ini tidak akan berjaya sekiranya ia diharungi tanpa sokongan semua pihak terutama NGO.

"Sukarelawan yang terlibat membantu golongan gelandangan mungkin boleh memberikan idea dan perbincangan bersama pihak berwajib di mana lokasi yang bersesuaian dijadikan 'one stop centre' untuk menyampaikan makanan, memberi rawatan dan menyerahkan pelbagai barang keperluan lain sekali gus beberapa masalah boleh diatasi," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Hubungan NGO Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata kenyataan Ku Nan mengejutkan pihak mereka kerana selama ini beliau adalah seorang pemimpin yang memperjuangkan masalah-masalah masyarakat pengemis dan gelandangan.

Khairul Firdaus berkata pihaknya akan berjumpa dengan Ku Nan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan NGO yang terlibat dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Ku Nan berkata berkata tindakan itu diambil sebagai langkah serius kerajaan membersihkan kegiatan golongan tidak berumah dan pengemis di ibu negara.

No comments:

Post a Comment

Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..