Sunday, August 17, 2014

Pelajar MAUT Ketika Mahu Mengambil Kunci Bilik Asrama


  • Lokasi Ilyas terjatuh selepas cuba memasuki biliknya di UiTM kampus Puncak Alam, kelmarin.Lokasi Ilyas terjatuh selepas cuba memasuki biliknya di UiTM kampus Puncak Alam, kelmarin.
 1 / 1 

KUALA SELANGOR - Gara-gara mahu mengambil kunci bilik tidurnya, seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam,di sini, maut setelah terjatuh daripada tingkat empat asramanya, kelmarin.

Mangsa, Mohd Ilyas Saifullah Md Azhari, 19, pelajar semester pertama dalam program Asasi Sains jatuh setinggi kira-kira 30 meter dan dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian muka.

Seorang pelajar lelaki yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam.

“Pada ketika itu, Ilyas mahu masuk ke dalam biliknya, namun dia tertinggal kunci di dalam bilik,” katanya.

Beliau yang tinggal berdekatan bilik mangsa berkata, mangsa tinggal bersama seorang lagi rakan.

Namun, mangsa mengambil tindakan sendiri dengan cuba memanjat beranda dari bilik sebelah untuk masuk ke biliknya.

“Akibatnya, dia tergelincir sebelum jatuh ke bawah dan kami terus menghubungi polis bantuan universiti untuk melaporkan kejadian berkenaan,” katanya.

Menurutnya, ambulans tiba tidak lama kemudian dan terus membawa mangsa ke hospital.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang mengesahkan kejadian terbabit dan pihaknya mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut.

“Polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kes berkenaan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk bedah siasat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..