Khairul Anwar Rahmat
SHAH ALAM - Pengerusi Sukarelawan Guaman (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat meluahkan rasa kecewa apabila mereka dan beberapa pihak lain yang menjayakan program Dialog PM bersama NGO Nothing2Hide dijadikan kambing hitam serta bahan tohmahan.
Katanya, sebelum penganjuran program dialog tersebut, pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama tiga pegawai kanan Perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sangat positif dan mahukan program ini mencapai matlamatnya.
“Malah, idea awal program ini juga adalah hasil perbincangan dua hala antara penganjur dan beberapa pegawai kanan Najib termasuk seorang pegawai kanan yang dipertanggungjawabkan menyelaras program ini bersama-sama. Justeru, adalah kurang adil jika Sukaguam selaku penganjur serta beberapa pihak lain yang membantu kami dijadikan kambing hitam,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Khairul Anwar berkata, pihaknya percaya keadaan akan menjadi sebaliknya (penganjur tidak akan dipersalahkan) jika program dialog yang dirancang kelmarin, tidak 'diganggu' secara berlebihan oleh pegawai berkenaan (dan sekutunya).
“Sebenarnya, penganjur telahpun mendapatkan pandangan dari pegawai-pegawai kanan Najib berhubung banyak aspek termasuk kemungkinan jika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghadirkan diri.
“Seperti diakui Dr Mahathir, beliau tidak diundang secara rasmi, namun hadir sebagai tetamu apabila diwar-warkan dalam media mengenai kemungkinan kehadiran beliau ke majlis Dialog itu. Malah, beberapa NGO yang beliau naungi bersedia memberikan kad undangan yang mereka terima bagi membolehkan Dr Mahathir hadir,” jelasnya.
Jelasnya lagi, apabila ditanya oleh wartawan mengenai kemungkinan Dr Mahathir akan hadir, penganjur mengMasjid Syura bincang isu DAP dalam masaakui tidak akan menghalang kehadiran Dr Mahathir sebagai salah seorang tetamu pada majlis berkenaan.
“Berita ini dilaporkan dalam pelbagai media dan penganjur bersedia dengan sebarang kemungkinan. Penganjur turut menyediakan satu kerusi (yang dilabelkan dengan nama Dr Mahathir) bersama para hadirin lain dan turut menyediakan bilik tertutup (holding room) sebagai persediaan jika beliau benar-benar hadir.
“Rata-rata dari kalangan pegawai Najib amat positif dengan perkembangan ini kerana beliau (Najib) menunjukkan keyakinan yang amat tinggi untuk merungkaikan segala persoalan,” katanya.
Pegawai kanan rosakkan imej Najib
Namun begitu, beliau mendakwa bahawa pegawai kanan tersebut (dan yang sekutu dengannya) yang dipertanggungjawabkan sebagai penyelaras program ini telah bertindak berlebihan dalam beberapa perkara.
“Ini saya simpulkan sebagai 'pertembungan ego' beliau yang akhirnya menjadikan SukaGuam dan beberapa pihak lain sebagai kambing hitam dan mangsa keadaan.
“Ada benarnya seperti yang diperkatakan sesetengah pemimpin-pemimpin Umno sendiri, aktivis NGO dan rakyat, bahawa yang merosakkan imej Najib bukan hanya dari pihak luar luar, tetapi dari kalangan orang dalam sendiri,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Khairul Anwar berkata, beliau berkesempatan meluahkan perkara itu secara terus Najib pada petang kelmarin bagi menjelaskan situasi sebenar.
“Dari riak wajah Najib, beliau menerima baik dan memahami apa yang saya cuba sampaikan. Kami cuma berharap beliau mengambil tindakan tegas terhadap individu ini (dan yang sekutu dengannya),” katanya.
Dakwanya lagi, pegawai berkenaan telah berusaha menghalang kehadiran Najib dengan menghantar laporan yang kurang tepat seperti menangguk di air keruh dengan menokok tambah cerita.
“Pegawai itu berkata, kononnya Najib akan diejek sekiranya hadir ke PWTC. Walaupun penganjur akur dengan arahan polis supaya program itu ditangguhkan atas sebab keselamatan, namun alang-alang Dr Mahathir sudah bersedia untuk bertemu Najib, ia tidak sewajarnya dihalang.
“Isu keselamatan tidak timbul sama sekali jika mereka bertemu dalam bilik yang tertutup,” katanya.
Gambaran positif kepada rakyat
Beliau turut memberi bayangan mengenai suasana baik (feel good factor) dialami oleh rakyat Malaysia sekiranya gambar Najib dan Dr Mahathir sedang menikmati kopi dan berbual dalam keadaan mesra menjadi viral.
“Malah gambar mereka dan mereka bersalaman mesra menjadi tatapan rakyat yang rindukan persahabatan dan perdamaian pemimpin-pemimpin mereka.
“Tidak mengapalah dialog ini tidak dapat diteruskan, asalkan persaudaraan dan persahabatan antara kedua-dua pemimpin ini dapat ditautkan apatah lagi dalam keberkatan hari Jumaat di bulan Sya'ban ini,” katanya.
Khairul Anwar mengingatkan individu dan sekutunya yang mengeruhkan keadaan menghentikan tindakan tersebut.
“Hentikanlah menjadikan SukaGuam dan sahabat-sahabat kami sebagai kambing hitam (scapegoat). Hentikanlah serangan peribadi, fitnah dan tohmahan.
“Jika masih berterusan, terutama melalui agen-agen anda, kami tidak teragak-agak untuk mendedahkan lebih lanjut berserta bukti dan saksi-saksi hidup kerana apa yang kami dambakan sebagai rakyat Malaysia ialah perdamaian dan kesepakatan antara pihak-pihak yang berbeza pandangan dalam isu-isu yang berlaku dalam negara,” katanya tegas.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..