Kecewa terbeli 'karipap oksigen'‘Karipap oksigen’ yang dibeli nyata mengecewakan kerana inti terlalu sikit.
GEORGETOWN - Sungguh tidak patut apabila ada peniaga yang didakwa sengaja mengambil kesempatan sepanjang Ramadan kali ini.
Kisah berkenaan sering kali berlaku menyebabkan pelanggan semakin muak dengan sikap peniaga yang tidak jujur dan terbaru, pembaca Sinar Harian mengadu terbeli ‘karipap oksigen’.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Yan berkata, telah membeli karipap daripada peniaga di sebuah bazar Ramadan, di sini.
“Tiga biji karipap dijual pada harga RM1 dan pada masa itu, saya tergesa-gesa membeli kerana waktu berbuka sudah hampir tiba. Saya ambil mana saja juadah yang ada supaya boleh bergerak dan sampai rumah cepat.
"Tapi, amat mengecewakan apabila tiba waktu berbuka, bila gigit sikit karipap yang dibeli tidak ada rasa inti. Bila tengok memang kosong dan intinya sikit sangat dan tidak sesuai dengan harganya," katanya.
Menurutnya, dia kemudian mengambil inisiatif datang berjumpa peniaga terbabit mengadu mengenai karipap berkenaan, namun respons diterimanya mengecewakan.
"Dia langsung tak minta maaf, sebaliknya anggap saya bercakap kosong. Hairan dengan sikap peniaga macam ini sebab sanggup jual 'karipap oksigen' yang penuh dengan angin bukan inti.
"Lepas ini, memang saya akan berhati-hati kalau hendak beli kuih. Kalau ada masa lapang saya akan buat kuih sendiri," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang, Chin Ching Chun berkata, KPDNKK telah menempatkan kakitangan mereka di dua tapak bazar Ramadan setiap hari.
Menurutnya, pengguna khasnya pengunjung bazar Ramadan boleh terus membuat aduan sekiranya ternampak pegawai KPDNKK di tapak berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, aduan masih boleh dikemukakan kepada pihaknya melalui telefon dan juga e-mel.
"KPDNKK sudah pun mengeluarkan notis kepada semua peniaga sebelum mereka menjalankan perniagaan.
"Kami telah memberi arahan supaya tidak ada barang tiruan dijual, keduanya tidak menjual dengan keuntungan yang tidak munasabah dan juga perlulah mempamerkan tanda harga,” katanya.
Beliau berkata, peniaga bazar Ramadan yang gagal berbuat demikian boleh diambil tindakan serta-merta.
"Pada masa sama, kita juga nasihatkan pengguna supaya lebih bijak.
"Jika jumpa peniaga yang ambil kesempatan, terus adukan kepada KPDNKK, jangan diamkan sahaja," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..