SERI MANJUNG – Seorang peniaga nekad menyelamatkan diri dengan mendukung isterinya yang sedang hamil tiga bulan ketika Bazar Ramadan Mega Koperasi Peniaga-peniaga Pasar Malam (Persalam), di sini, dilanda ribut awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, Mohd Shaari Hussen, 28, bersama isteri, Zubaidah Kasim, 23, dan dua adiknya berada dalam sebuah khemah di kawasan itu.
Mohd Shaari berkata, ketika kejadian, dia sedang berbual dengan peniaga lain sementara isterinya sedang berehat.
“Ketika itu, kami baru sahaja menutup gerai masing-masing dan saya dengar ada bunyi angin kuat sebelum ia menerbangkan khemah jualan kami.
“Tanpa berlengah saya terus menerpa ke arah isteri yang kelihatan tergamam dan mendukungnya keluar dari kawasan itu untuk mencari tempat selamat,” katanya.
Menurutnya, dia sempat menjerit memanggil dua adiknya dan meminta mereka segera lari menyelamatkan diri.
Katanya, keadaan ketika itu agak mencemaskan dan menakutkan, apatah lagi dengan khemah dan barang-barang jualan milik peniaga dilihat berterbangan.
“Kami berempat berpelukan dan melaungkan azan berulang kali kira-kira 40 meter dari tapak bazar.
"Kejadian berlaku terlalu pantas, hanya doa mengiringi kami ketika itu,” katanya.
Dalam kejadian itu, sebanyak 60 daripada 100 gerai jualan musnah akibat diterbangkan angin kencang.
Peniaga cemas, panik
Abdul Ghani Mohd Ali, 32, berkata, angin yang pada mulanya bertiup perlahan bertukar ‘ganas’ dengan desiran kuat sebelum hujan lebat.
“Ketika itu, saya rasa seperti melayang-layang ditiup angin. Ada sebilangan pakaian yang dijual diterbangkan angin kerana tidak sempat diselamatkan.
“Namun nasib kami baik kerana tidak ada yang cedera,” katanya.
Katanya, ketika itu, keadaan sudah pun bertukar huru-hara kerana peniaga cuba menyelamatkan barang di khemah masing-masing.
“Saya cepat-cepat bawa barang jualan ke dalam van yang diletak berhampiran,” katanya.
Peniaga tudung, Shahrizal Abdullah, 35, pula berkata, ketika kejadian dia baru sahaja selesai bersahur sebelum menyedari keadaan angin kencang secara tiba-tiba.
“Saya cuba untuk memegang khemah supaya tidak terbang, tetapi keadaan angin yang begitu kuat menyebabkan saya segera berlari untuk menyelamatkan diri.
“Saya menyorok di belakang sebuah lori dan hanya mampu melihat khemah jualan terbang dibawa ribut,” katanya.
Kepala terkena khemah
Seorang lagi peniaga, Royzali Ismail, 27, berkata, kejadian itu berlaku dalam sekelip mata tanpa sempat dia menyelamatkan barang jualannya.
“Ketika itu, saya baru sahaja menutup gerai jualan dan hujan begitu lebat selain angin kuat. Akibat angin yang kuat itu juga besi khemah terkena kepala saya, mujur tak cedera,” katanya.
Dia yang menjual pakaian berusaha berlari untuk menyelamatkan pakaian yang dijual, namun nasib tidak menyebelahi apabila khemahnya diterbangkan angin.
“Saya tidak dapat gambarkan perasaan atas kejadian yang menimpa peniaga di bazar ini. Kami hanya mampu melihat khemah diterbangkan angin kuat dan tidak sempat menyelamatkan barang jualan,” katanya.
Kerja pembersihan dilakukan
Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Persalam Manjung Berhad, Adenan Bakar berkata, pihaknya akan menjalankan kerja-kerja pembersihan di tapak lokasi.
“Ini termasuklah menggantikan khemah, semua ini kita lakukan tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada peniaga,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan tiada mangsa yang cedera.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..