KISAH gadis yang satu ini menarik perhatian netizen apabila dengan RM2, dia dibalas RM300 oleh orang yang dibantunya, semalam.
Gadis yang menggunakan akaun Facebook dengan nama Ezzaty Amin berkongsi cerita perjalanannya ketika menaiki komuter dari Batu Caves ke Shah Alam di mana dia bertemu seorang lelaki berusia yang dipanggil pak cik.
Klik Sini Untuk Like dan dapatkan Berita terkini
Bertemu dengan pak cik tersebut ketika beratur untuk membeli tiket, Ezzaty terdetik untuk ‘membelanja’ pak cik berkenaan setelah mendapati tujuan mereka sama.
“Saya beli satu tiket dewasa dan satu tiket warga emas. Dia tergamam dan saya pun kata, Tak apa pak cik, saya belanja.
“Sepanjang perjalanan, kami berbual dan pak cik berikan saya kad bisnes beliau. Saya tak berikan perhatian sangat dan terus menyimpan dalam dompet. Kami borak tentang keluarga, karier. Pak cik beritahu dia mualaf dari Sabah dan minta saya tasmi’ bacaannya, Surah Luqman ayat 1 hingga 5,” ceritanya yang dikongsi di Facebook, malam tadi.
Menurut perkongsian itu lagi, Ezzaty memberitahu pak cik tersebut ada meminta untuk melihat buku yang dibawanya berjudul Langit Illahi karya Hilal Asyraf sebelum mereka berpisah.
“Setelah kami sampai ke destinasi kami, pak cik kata, ‘jadilah orang baik, ikhlas. Pak cik doakan kamu di Mekah’. Dia akan menunaikan Haji, Ahad ini,” katanya.
Menurut Ezzati, setelah tiba di rumah, baru disedari terdapat RM300 di dalam bukunya.
“...dan saya lihat kad bisnes yang diberinya. Rupa-rupanya dia adalah Kapten dan Pengarah Projek Syarikat Kejuruteraan Marin dan Dredging.
“Tuhan telah berjanji, kita tidak akan menjadi miskin dengan memberi sedikit dari harta kita untuk kebajikan. Semoga ALLAH membimbing kita semua,” katanya.
Tinjauan Sinar Online di media sosial mendapati, kisah itu menerima reaksi positif daripada pengguna-pengguna yang memuji sikap Ezzaty.
Statusnya di Facebook itu turut dikongsi hampir 8,000 kali dan mendapat lebih 26,000 ‘likes’.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..