Friday, September 4, 2015

Polis Nafi Jambatan Runtuh Di Jalan Kuching





KUALA LUMPUR: Polis menafikan khabar angin mengenai sebuah jambatan runtuh selepas berlaku kemalangan di Jalan Kuching yang mengakibatkan kesesakan teruk pada pagi Isnin.
"Tiada jambatan runtuh," kata Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Mohd Nadzri Hussain.
Kemalangan itu membabitkan sebuah kereta, sebuah van dan tiga motosikal dan mengakibatkan kebakaran van.
Tiada kematian dilaporkan dan hanya kecederaan ringan, dan mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Kemalangan tersebut menyebabkan kesesakan di sepanjang laluan pada waktu puncak ketika orang ramai mahu pergi ke tempat kerja.
Siasatan awal menunjukkan sebuah kereta yang menghala ke Kepong di Jalan Kuching secara tiba-tiba membelok ke arah bertentangan.
"Kereta itu melanggar sebuah van dan terbabas. Tiga motosikal merempuh belakang van sehingga mengakibatkan kebakaran.
"Anggota bomba berjaya menangani kebakaran itu dengan pantas," katanya sambil menambah bahawa pemandu van dan dua penunggang motosikal dihantar ke HKL untuk mendapatkan rawatan.
Nazri berkata, polis masih mencari pemandu kereta dan salah seorang penunggang motosikal bagi membantu siasatan.
Beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan berita yang tidak sahih menerusi media sosial mahupun medium lain.

No comments:

Post a Comment

Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..