SHAH ALAM - Pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedang mengumpulkan maklumat mengenai serangan yang berlaku ke atas pelajarnya, Shahir Rahimi‎.

‎Perkara tersebut disahkan oleh Pusat Komunikasi UKM dalam satu kenyataan malam ini.

Shahir yang merupakan  Presiden Gerakan Mahasiswa UKM mengalami kecederaan akibat dikelar sebelum disimbah cat pewarna subuh pagi tadi.

 ‎"Pihak kami mengambil maklum dan memandang serius akan satu laporan polis yang sudah dibuat berkaitan seorang pelajar UKM cedera dalam kampus.

"Pihak polis sedang membuat siasatan dan UKM sedia memberi kerjasama untuk mengesahkan kejadian," katanya seperti yang dipetik menerusi kenyataan tersebut.

[ARTIKEL BERKAITAN: Siasat segera kes mahasiswa ditoreh, disimbah cat]

Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal bergegas ke Hospital Serdang untuk melawat pelajar tersebut hari ini.

Dalam pada itu, UKM turut menafikan pelajar tersebut cedera parah akibat serangan terbabit.

"Pihak hospital memaklumkan pelajar tersebut mendapat rawatan sebagai pesakit luar dan cedera ringan dan dibenarkan pulang.

"UKM sedang berusaha untuk menghubungi pelajar dan mendapatkan maklumat terperinci," katanya lagi.

Shahir  diserang ketika bergilir-gilir untuk menjaga poster kempen pilihan raya di dalam kampus bagi memastikan ianya tidak disabotaj.