GEORGETOWN - Selepas ini pembesar suara di bahagian luar masjid dan surau di Pulau Pinang hanya boleh digunakan untuk azan dan iqamat.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa negeri pada 1 dan 2 Julai lalu dan disahkan sekali lagi menerusi mesyuarat sama pada 23 dan 24 Ogos lalu.
Difahamkan, keputusan itu dibuat selari dengan hasil mesyuarat sama pada 7 April 2011 berhubung larangan membaca al-Quran sebelum waktu subuh menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau.
Bagaimanapun, keputusan itu ditambah baik dengan memasukkan larangan bagi semua program di masjid dan surau seperti qiamullail, solat tahajud, kuliah, mesyuarat dan sebagainya yang hanya dibenarkan menggunakan pembesar suara di bahagian dalam.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Mohd Noor berkata, keputusan itu dibuat selepas dipertimbangkan dari pelbagai sudut.
Menurutnya, isu berkenaan dibangkitkan selepas pihaknya menerima beberapa aduan dari masyarakat Islam sendiri yang tidak tahan dengan pembesar suara di luar masjid serta surau yang dipasang terlalu kuat.
"Persekitaran hidup umat Islam hari ini juga sudah berubah dengan ramai yang tinggal di kawasan perumahan dengan jarak sangat hampir dengan masjid.
“Jika kita ingin beribadat, tidaklah sewajarnya kita mengganggu orang lain,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, surat perkeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti neger ikepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAINPP) bertarikh 1 September lalu menjadi viral di laman sosial.
Kebanyakan pengguna laman sosial tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan selain mendakwa keputusan itu dipengaruhi desakan politik.
Wan Salim berkata, JHEAINPP akan memanggil ahli jawatankuasa dan pegawai masjid di seluruh negeri ini untuk sesi penerangan mengenai larangan tersebut.
Menurutnya, usaha itu perlu bagi membolehkan mereka menjelaskan kepada masyarakat Islam di kariah masing-masing.
“Semoga dengan cara ini, isu itu tidak disalahfaham oleh orang ramai dan tidak menimbulkan kekecohan yang berpanjangan,” katanya
.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..