CUKUPKAH pinjaman RM75,000 untuk membeli tanah dan membina rumah dua tingkat? Hendak tahu jawapannya, tanyalah Muhamad Azree Abdul Rahim, kerana itulah yang telah dilakukan oleh pemuda berusia 26 tahun ini.
Beliau membeli tanah di Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang dekat sini dan mendirikan di atasnya rumah dua tingkat yang diperbuat daripada kontena terpakai.
Ramai hari ini merungut kesukaran memiliki kediaman sendiri akibat kenaikan harga rumah dan kos sara hidup. Namun anak peneroka Felda dari Kluang, Johor ini telah berfikir di luar kotak untuk menyelesaikan permasalahan itu.
Beliau berjaya memiliki rumah tanpa berbelanja di luar kemampuan dan melakukannya tanpa mengikat diri dalam pinjaman rumah 30 tahun.
Penulis yang melawat rumah beliau baru-baru ini mendapati rumah kontena itu cukup lengkap dengan dapur, ruang mandi dengan pancuran serta ruang makan dan santai. Malah ada juga ruang untuk katil “queen”.
Pemuda yang lebih selesa dipanggil Azree itu turut mengusahakan kebun organik di luar rumahnya. Rumah kontena itu didirikan di atas tanah pertanian yang cukup subur untuk menanam dan mencambah stevia, yang turut dijual Azree untuk pendapatan sampingan.
BELI RUMAH
Keputusan beliau untuk membangunkan rumah kontena diambil setelah membuat bacaan dan kajian mendalam.
“Saya tak mahu menyewa lagi. Sudah bertahun saya menyewa bilik dalam rumah yang tak seberapa, saya kira dalam berbelas ribu Ringgit sudah habis. Tamat tempoh, rumah tiada, habuk pun tak dapat,” kata pembangun web dan sistem itu.
Ketika mencari rumah dalam harga yang mampu dimilikinya, Azree mendapati kebanyakan rumah yang dijumpai dalam keadaan uzur atau perlu banyak dibaiki.
Ini membuatkan beliau mengubah fokus daripada mencari rumah kepada mencari tanah pegangan bebas dalam lingkungan RM30,000. Dengan gaji RM3,500 dan ansuran bulanan kereta perlu dibayar, Azree perlu berhati-hati agar beban hutang tidak bertambah.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..