Tuesday, December 8, 2015

Park Kapal Terbang Setahun Tak Mahu Ambil Semula: MAB Bagi Notis 14 Hari

  (Ubah saiz teks)





PETALING JAYA: Biasanya hanya kereta yang sering dilihat tersadai, berkarat dan akhirnya menjadi besi buruk, tetapi siapa sangka pemilik kapal terbang juga tergamak melakukan perkara serupa terhadap pesawat milik mereka tanpa rasa bersalah.
Situasi ini berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang di mana tiga buah pesawat jenis Boeing 747-200F diparkir di situ dan ditinggalkan sendirian tanpa sebarang operasi dalam tempoh yang lama.
Apa yang berlaku ini menyebabkan Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd terpaksa mengeluarkan notis di akhbar, menggesa pemilik ketiga-tiga pesawat berkenaan tampil dan mengambil pesawat itu yang telah lama ditinggalkan.
Pengurus Besar Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Zainol Mohd Isa berkata kes pesawat mendarat dan dibiarkan dalam tempoh yang lama adalah perkara biasa yang berlaku di lapangan terbang.
Katanya, sebelum MAHB mahu membuat tindakan susulan terhadap pesawat tersebut, iklan atau notis perlu dikeluarkan sebagai satu prosedur bagi menggesa pemilik menghubungi MAHB dan menuntut pesawat milik mereka.
"Kita tahu pesawat itu telah datang ke tempat kita, tidak meneruskan penerbangannya dan parkir di sini dalam tempoh yang lama.
"Jadi kita iklankannya sebagai satu proses perundangan penerbangan. Ia adalah satu prosedur untuk uruskan pesawat. sebelum kita buat tindakan susulan seperti mendapatkan surat kuasa mahkamah untuk sama ada kita nak melelongnya, memilikinya, menjualnya atau lain-lain lagi," katanya kepada mStar Online, Isnin.
Menurut Zainol setiap pesawat yang diparkir di tempat letak pesawat di bawah kendalian MAHB tertakluk kepada beberapa peraturan termasuklah dikenakan bayaran. Kadarnya ditetapkan mengikut jam dan saiz pesawat.
Dalam kes ini, ketiga-tiga pesawat yang ditinggalkan bukanlah calang-calang pesawat sebaliknya menjadi antara pesawat penumpang yang terbesar di dunia.
Zainol menganggarkan ketiga-tiga pesawat itu - dua buah daripadanya berwarna putih dan sebuah lagi berwarna ‘off white’  telah berada di situ lebih kurang satu tahun.
"Ia adalah milik syarikat antarabangsa. Sebelum mengiklankannya kita ada hubungi mereka tetapi mereka masih tidak hadir. Saya anggarkan ia telah berlanjutan selama setahun.
"Tempat parkir berkenaan kebetulan tidak digunakan dan tak ada keperluan untuk tiga pesawat ini dialihkan segera, cuma bila ia lama ditinggalkan ia nampak tak cantik," katanya.
Katanya setakat ini MAHB kini mempunyai lebih 100 ruang letak pesawat yang digunakan oleh pesawat kargo dan komersial.
Sementara itu, berdasarkan iklan itu yang dibuat di akhbar The Star bertarikh 7 Disember, ia menyatakan bahawa MAHB berhak untuk menjual atau melupuskan ketiga-tiga pesawat itu jika pemiliknya gagal mengambil pesawat berkenaan dalam tempoh 14 hari dari notis dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 1996.
"Kalau mereka datang mereka tetap kena bayar. Kita ada semua rekod, bila mereka masuk…kita ada kadarnya.
Tetapi seperti kereta yang lama kena tinggal, sebelum pesawat ini dialihkan ia perlu dibaiki dan menjalani pemeriksaan khusus bagi membolehkannya terbang semula," katanya.
Zainol berkata MAHB pernah membuat iklan yang sama pada tahun lepas dan pemiliknya telah datang membuat tuntutan dan membayar kadar parkir tertunggak.
Tambahnya, sekitar tahun 80-an sebuah pesawat telah dilelong selepas ia lama ditinggalkan di lapangan terbang di Subang dan tiada yang datang menuntutnya walaupun selepas iklan dibuat.

No comments:

Post a Comment

Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..