LABUAN - Kemeriahan pada satu majlis perkahwinan bertukar tragik apabila seorang peserta silat terbunuh secara tidak sengaja semasa membuat persembahan pada majlis itu di Kg Patau-Patau pada Sabtu.
Pelajar kolej berumur 17 tahun itu, dikenal pasti sebagai Mohd Amil Zulkarnain sedang membuat persembahan silat bersama-sama sepupunya yang juga berumur 17 tahun pada kira-kira 11.30 pagi ketika insiden itu berlaku.
“Semasa membuat persembahan silat pada majlis persandingan, si mati telah ditikam di dada kanan dengan sebilah keris dan cedera parah.
"Dia segera dibawa ke hosiptal, bagaimanapun dia meninggal dunia beberapa jam kemudian," kata Timbalan Ketua Polis Labuan Deputi Superintendan Ibrahim Mohd Ghani kepada pemberita hari ini.
"Penyerangnya' kemudiannya ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 304 Kanun
Keseksaan (secara cuai menyebabkan kematian)," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ibrahim berkata polis menahan 12 orang dalam operasi cegah jenayah selama tiga jam mulai 1 pagi tadi.
Beliau berkata 11 daripada mereka termasuk lapan wanita ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan seorang lagi bagi kesalahan penyalahgunaan dadah.
Katanya sejumlah 257 saman dikeluarkan terhadap pemandu yang melanggar peraturan trafik. -Bernama
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..