GUA MUSANG - [DIKEMASKINI] Enam sekeluarga, termasuk tiga kanak-kanak, maut apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan lori di Kilometer 25 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Kampung Rantau Manis di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, pemandu kereta Nur Amira Azudin, 23, ibunya Mardiah Drani, 48, kakak iparnya Noor Azila Yasin, 27, serta tiga orang anak saudaranya maut.
"Tiga orang anak saudara yang maut itu termasuk anak Noor Azila, Muhammad Hadif Haykal Muhd Hafiz yang berumur setahun enam bulan, serta pasangan kembar Siti Badrishah Ab Rahman dan Siti Noraudah, berusia empat tahun," katanya kepada pemberita.
Suami Noor Azila, yang merupakan abang Nur Amira, Muhd Hafiz, 30, cedera parah di kepala serta badan, dan kini dirawat di Hospital Gua Musang.
"Pemandu dua lori yang turut terbabit dalam kemalangan itu, Ahmad Ismail, 37, dan Ahmad Zaki Pahmi, 30, tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Saiful Bahri berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku ketika Nur Amira yang dipercayai cuba memotong sebuah lori bertembung dengan sebuah lori lain yang datang dari arah bertentangan.
Nur Amira dan keluarga dilaporkan dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Panggong Lalat menuju ke Felda Chiku 2 untuk melawat anak saudara lelaki Noor Azila berumur empat bulan yang sakit.
Sementara itu, ayah Nur Amira, Azudin Sulaiman, 59, ketika ditemui di Hospital Gua Musang berkata keluarganya bertolak pada 8.45 pagi tadi untuk ke rumah besannya di Felda Chiku 2.
"Saya tak dapat nak ikut mereka ziarah kerana ada kerja lain. Saya hanya sempat hantar mereka sebelum mereka bertolak pagi tadi.
"Bagaimanapun saya terkejut apabila terima panggilan mengatakan mereka terlibat dalam kemalangan. Saya tidak tahu hendak cakap apa. Saya kena terima dengan hati terbuka kerana ia ketentuan Ilahi," katanya.
Sementara itu, sepupu Nur Amira, Asiah Che Ibrahim, 30, berkata, sepupunya itu merupakan penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah ada mengunjunginya petang semalam.
"Arwah Nur Amira tanya kenapa tak datang ke rumah dan saya beritahu nak ke rumah mereka hari ini, tapi tak sangka mereka terlibat kemalangan hari ini.
"Rasa terkejut juga dengan kejadian kemalangan ngeri itu hingga saya sendiri tidak tahan sedih menatap wajah semua jenazah yang parah itu," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..