KOTA TINGGI - Seorang lelaki yang baru melangsungkan pernikahan dengan isteri keduanya tiga minggu lalu maut selepas kereta yang dipandu dalam perjalanan ke tempat kerjanya terbabas di Kilometer 67 Jalan Johor Bahru-Mersing pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Mohd Zubir Mohd Husin, 45 maut di tempat kejadian selepas kenderaan jenis Perodua Myvi dipandu terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira empat meter.
Kemalangan terbabit disedari seorang penunggang motorsikal yang kebetulan melalui kawasan terbabit sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.
Difahamkan, sejak mendirikan rumah tangga dengan isteri keduanya, mangsa yang bekerja sebagai kerani kewangan sering berulang alik dari Senai ke tempat kerjanya di Kilang Sawit Tenggaroh Timur.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa yang datang dari arah Johor Bahru menghala ke Mersing hilang kawalan dan terbabas sendiri.
"Ekoran itu, kereta terbabit telah melanggar pokok di bawah tebing yang mana curam kedalaman melebihi empat meter di jalan arah bertentangan.
"Semasa kejadian keadaan cuaca hujan lebat. Kereta mangsa dijumpai oleh orang awam kira-kira jam 10.40 pagi dan didapati ada pemandu meninggal dunia dalam kenderaan terbabit," katanya.
Tambahnya, hasil siasatan mendapati tempat kejadian merupakan jalan lurus, jalan dua hala dan mempunyai garisan berkembar sebagai pembahagi jalan. Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..