KUCHING - Seorang murid menerima 36 jahitan di dahinya yang cedera akibat dilempar dengan objek tumpul oleh rakannya sendiri.
Menurut ibu kepada Julichan Santie, Santie Opok, 27, dahi anaknya cedera dipercayai berpunca dari objek tumpul yang dilempar oleh salah seorang rakan asrama di sebuah sekolah rendah pada 28 Mac lalu.
"Bila kami meninggalkannya di asrama pada 27 Mac (Ahad), dia kelihatan agak keberatan untuk ditinggalkan. Dia hanya akan tinggal jika kami datang bertemu dengannya keesokan harinya," katanya, lapor The Sunday Post.
Risau mendengar kata-kata anaknya, Santie datang semula pada keesokan hari untuk berjumpa dengan anaknya pada jam 5 petang. Namun, dia dimaklumkan anaknya telah dibawa ke sebuah klinik berhampiran kerana kecederaan di dahi.
Doktor klinik memaklumkan Santie dan suaminya, Julian Simon, 30, anak mereka pergi dibawa ke Hospital Miri untuk penilaian dan rawatan lanjut.
Bapa kepada murid yang telah menyebabkan kecederaan Julichan turut menawarkan diri membiayai perjalanan keluarga itu dari Bario ke Miri. Malah guru besar sekolahnya juga bermurah hati menghulurkan sedikit wang belanja bagi menampung kos perjalanan.
Setibanya di Miri, doktor memutuskan merujuk anak lelaki mereka ke Hospital Umum Sarawak bagi menerima rawatan lanjut pada 30 Mac lalu.
"Kami tidak pasti apa yang sebenarnya berlaku pada hari tersebut. Mungkin kes buli atau akibat kenakalan biasa kanak-kanak. Anak kami juga tidak dapat mengingati apa yang berlaku pada hari kejadian. Dia hanya memberitahu ada seseorang yang melempar sesuatu ke arahnya sebelum pengsan.
“Setakat ini, dia tidak dapat mengingati siapa membawanya ke klinik atau apa dia lakukan sebelum itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..