DUNGUN - Mayat reput yang dijumpai di Pulau Tenggol, di sini semalam dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum disumbat ke dalam kotak polisterin, kata Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub.
Katanya, hasil laporan bedah siasat juga mendapati terdapat kesan tetakan pada rusuk kiri, kanan dan belakang badan mangsa yang berusia antara 20 hingga 40 tahun itu.
"Mangsa dipercayai seorang lelaki telah meninggal dalam tempoh lebih dua minggu... mangsa tidak dipotong namun (dipercayai) dibiarkan mengalami proses mereput sebelum dibungkus rapi dengan plastik dan disumbat ke dalam kotak," katanya ketika dihubungi Bernama.
Semalam seorang pemandu bot pelancong bersama-sama tiga rakannya menjumpai kotak polisterin itu ketika berehat selepas pulang daripada melakukan aktiviti 'snorkeling' kira-kira pukul 9.15 pagi di pesisir pantai Pasir Tenggara, Pulau Tenggol.
Ahmad Zailani berkata, polis yakin kotak berkenaan telah diletakkan di lokasi berkenaan dan bukannya dihanyutkan arus sehingga terdampar ke pesisir pantai.
"Tiada kesan berlumut mahupun warna pudar pada kotak berkenaan... kita percaya ia memang diletakkan di pulau itu dan bukannya dicampak ke dalam laut sehingga terdampar," katanya sambil menambah kes itu disiasat sebagai kes bunuh. –Bernama
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..