TAIPEI: Seorang penunggang motosikal nyaris maut apabila dihambat serpihan bumbung ketika Taufan Meranti yang merupakan taufan terkuat pada tahun ini, membadai Taiwan pada Rabu.
Detik-detik cemas itu sempat dirakamkan oleh seorang penduduk tempatan yang memuat naik video tersebut dalam laman perkongsian YouTube.
Video berdurasi 15 saat itu menunjukkan penunggang motosikal terbabit cuba menempuh perjalanan bertentangan dengan arah angin taufan yang berkelajuan mencecah 370 kilometer sejam.
Namun lelaki berkenaan tiba-tiba menghentikan motosikalnya yang berundur sedikit akibat tiupan angin kencang.
Kemudian kelihatan serpihan bumbung besar yang diterbangkan angin kuat, terkena bahagian kepalanya yang ditutupi topi keledar, menyebabkan penunggang motosikal itu terpelanting ke belakang.
Bagaimanapun lelaki itu yang dipercayai mengalami kecederaan ringan, bangkit semula sebelum berlari mencari tempat perlindungan.
Dalam perkembangan lain, taufan tersebut turut menyebabkan bekalan elektrik terputus, sekali gus memaksa hampir 200,000 penduduk di Taiwan berlindung dalam kegelapan.
Semua sekolah dan pusat perniagaan terpaksa ditutup selain hampir 1,500 penduduk dipindahkan ke tempat selamat dengan bantuan pihak tentera.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini dan hanya sembilan mangsa mengalami kecederaan kecil.
Taufan tersebut dilaporkan menuju ke China dan dijangka membadai negara itu lewat Khamis.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..