KLANG - Seorang lelaki cedera parah ditetak di bahagian kepala selepas diserang oleh 16 individu termasuk isterinya, lapor Sinar Harian.
Dalam kejadian jam 10.40 pagi Rabu, wanita berusia 19 tahun itu datang
membawa tiga ahli keluarganya dan 12 lelaki ke rumah mentuanya di Jalan
Istana untuk mengambil anak perempuannya berusia dua tahun.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad
berkata, kejadian itu disedari oleh jiran mangsa lalu menghubungi salah
seorang ahli keluarga mangsa yang mendakwa rumah mereka dimasuki orang.
Terkejut menerima panggilan itu, dia terus bergegas pulang ke rumah.
Bila tiba di rumah, dia mendapati mangsa berusia 28 tahun, suami kepada
kakak iparnya itu berlumuran darah dan tidak sedarkan diri selepas
cedera ditetak di kepala.
Turut cedera dalam kejadian itu, bapa mangsa, adik lelaki dan rakan mangsa yang berada di rumah tersebut.
"Kesemua mangsa dicederakan menggunakan batang besi, pengunci stereng,
topi keledar dan parang. Akibat kecederaan tersebut, kesemua mangsa
kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan
kini dilaporkan stabil.
"Dalam insiden itu juga, rumah mangsa dan barangan elektrik turut
dirosakkan, selain telefon bimbit serta wang tunai kira-kira RM4,000
turut dilarikan," katanya.
Siasatan awal mendapati, mangsa sebelum ini tinggal bersama isterinya di
Kampung Subang, namun berlaku perselisihan faham menyebabkan mangsa
bersama anak perempuannya nekad keluar dari rumah pada 9 Januari lalu
dan tinggal di rumah keluarganya.
Susulan kejadian itu, seramai tiga lelaki dan dua wanita termasuk isteri
mangsa ditahan pada jam 9 malam, hari yang sama selepas tampil menyerah
diri di balai polis.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..