SHAH ALAM: Pengguguran pelawak terkenal Singapura, Najip Ali sebagai juri tetap program Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM2017) bertujuan meredakan kemarahan rakyat di negara ini.
Ketua Pengisian dan Komedi Astro, Bob Azrai Kamaruddin berkata, keputusan berkenaan terpaksa dibuat bagi menjaga sensitiviti segelintir pihak susulan keceluparan Najip mempersendakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Adalah lebih elok dan sesuai untuk kita rehatkan Najip Ali bagi menjaga hati pihak-pihak tertentu. Jadi pihak produksi dan Astro buat keputusan itu demi kebaikkan semua.
"Malah Najip sendiri telah membuat permohonan maaf secara terbuka, ia tindakan yang amat baik.
"Kami berharap tindakannya itu akan meredakan keadaan. Kami harap semua pihak boleh move on," katanya kepada mStar Online.
Dia ditemui selepas persembahan minggu ke-8 MLM2017 di Shah Alam Royale Theatre di sini, lewat malam Jumaat.
Persembahan kali ini menyaksikan kumpulan Nice yang dianggotai Tauke, Acong dan Ropie tersingkir.
Tugas Najip sebagai juri tetap kini digalas pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi disamping Datuk Rosyam Nor dan Luna Maya.
MLM2017 diterajui Datuk AC Mizal sebagai hos turut diserikan dengan kehadiran pelakon dan pengacara Neelofa sebagai juri jemputan.
Sementara itu ditanya sama ada Najip akan diberi peluang terlibat dalam mana-mana program hiburan stesen penyiaran itu selepas kontroversi ini, Bob berkata perkara itu bukan sesuatu yang mustahil.
"Astro tak rasa dia perlu disenarai hitamkan. Setiap manusia akan buat kesilapan, dan dia telah memohon maaf... itu sudah memadai.
"Namun biar reda dulu keadaan, insyaAllah suatu hari nanti... jangan terus menghukum kerana Najip Ali adalah bakat yang diterima rakyat Malaysia. Kita pun rasa kehilangan, tapi kita kena move on," katanya.
Najip dan beberapa selebriti Singapura menerima kecaman hebat daripada banyak pihak termasuk netizen dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) kerana mempersendakan Perdana Malaysia menerusi rancangan hiburan di negara itu.
Pada 29 Mac lalu, saluran televisyen Channel 5 terbitan Mediacorp Singapura menyiarkan racangan hiburan OK Chope yang memerlukan pesertanya melengkapkan tajuk berita berkaitan Najib yang dikurangkan satu perkataan iaitu Najib slams______for threatening Malaysia’s progress.
Perkataan asal yang tertinggal pada berita itu ialah fake news.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..