KULIM - Seorang pemilik kedai emas di satu pusat beli belah dekat sini menanggung kerugian RM50,000 apabila 20 jenis barang kemas dilarikan pekerja yang baru diupahnya, lewat petang semalam.
Pemilik kedai, Khoo berkata, pekerja wanita berusia 29 tahun itu telah ditemuduga melalui telefon pada 22 Mei lalu dan mula bekerja sejak semalam.
"Saya hanya temuduga dia secara umum sahaja, tanya umur, nama dan tempat tinggal melalui telefon sebelum memintanya mulakan kerja pada semalam.
"Sepatutnya dia masuk kerja waktu pagi seperti pekerja lain namun pelbagai alasan diberikan termasuk motosikal rosak jadi dia datang kerja lingkungan jam 4.30 petang, bila masuk kerja kita ada minta kad pengenalan tapi pelbagai alasan diberikan," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, kehilangan barangan kemas itu disedari seorang lagi pekerja yang menjadi rakan setugas suspek pada hari tersebut kira-kira jam 6.45 petang yang terus menghubunginya memaklumkan hal berkenaan.
"Saya telah dihubungi seorang lagi pekerja di situ memaklumkan barang kemas telah hilang dan mengesyaki pekerja baru itu yang ambil, saya bergegas ke lokasi dan apabila melihat CCTV yang dipasang memang benar suspek telah larikan barang kemas itu," katanya.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubunginya di talian 016-4447626 dan sekiranya sesiapa yang berjaya menangkap suspek akan diberi ganjaran RM3,000.
Selain itu, rakan sekerja suspek yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian dia dan suspek sedang bertugas seperti biasa di kedai.
"Saya duduk atas kerusi di ruang kosong belakang, manakala suspek sedang melihat barang kemas di dalam cermin pamiran, tak lama kemudian dia minta nak buka rak kabinet pamiran untuk menyusun barang kemas.
"Saya tak pula syak apa-apa, kemudian saya beritahu dia mahu pergi ke tandas. Kira-kira beberapa minit kemudian saya kembali ke kedai sebelum dia (suspek) meminta izin untuk pergi ke medan selera untuk makan.
"Ketika itu dia bersilang tangan dan diletakkan di dada dan berjalan ke arah medan selera berjarak beberapa meter dari kedai, lebih 30 minit saya tunggu dia tak datang semula.
"Saya tergerak hati nak periksa barang kemas di kabinet pameran, setelah beberapa kali kira memang ia tak cukup, terus saya telefon pemilik kedai," katanya.
Dalam pada itu, menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang pada penjuru kedai didapati suspek berpura-pura menyusun sebelum memasukkan barang kemas ke dalam lengan bajunya tidak sampai 10 minit.
Suspek juga dilihat sempat menyapu sampah di dalam kedai terbabit sebelum menunggu seorang lagi rakan setugasnya pulang dari bilik air.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..