Sunday, July 30, 2017

Rezeki Terpijak Nasi Lemak Kakak Dukung Anak

image: http://www.mstar.com.my/~/media/upload/2017/07/29/12/45/nasi%20lemak%20rm1.ashx?w=620&h=413&crop=1&/
  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Gara-gara kisahnya berniaga nasi lemak sambil mendukung anak menjadi viral, ibu lima anak ini ibarat mendapat rezeki terpijak apabila dia diberi peluang untuk mengembangkan perniagaannya.
Siapa sangka, usaha keras memerah keringat demi mencari sesuap nasi untuk anak-anak yang masih kecil membuahkan hasil.
Benarlah kata orang, 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'.
Bermula pagi Ahad, orang ramai boleh membeli dan merasai keenakan nasi lemak air tangan wanita cekal bernama Nur Ain Kodir, 30, di dalam Stesen Petronas MRR2 Ampang.
Penyelia stesen minyak itu, Emmawati Tafid ketika dihubungi mStar Online mengesahkan pihaknya akan mula menjual nasi lemak tersebut di premis mereka bermula pagi Ahad.
Jelasnya, ia adalah sebagai satu usaha untuk membantu meringankan beban wanita tersebut.
image: http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/07/29/nasi-lemak-kak-ain/~/media/9f5021b057fa4a9ab72681519f4b2f6b.ashx?la=en
Keenakan nasi lemak RM1 ini menjadi bualan hangat netizen.
"Insya-Allah bermula esok, kira-kira 50 bungkus nasi lemak Kak Ain akan dijual di dalam premis stesen minyak kami. Orang ramai boleh membeli nasi lemak itu di sini," katanya.
Menurut Emmawati, mereka sudah memaklumkan mengenai perkara itu kepada wanita tersebut pada malam Jumaat.
"Kami hubunginya malam tadi mengenai hasrat mahu tempah 50 bungkus nasi lemak untuk dijual hari ini (Sabtu) tapi dia terpaksa tolak. Mungkin kerana tempahan dibuat pada saat akhir jadi dia tak dapat penuhi permintaan itu," katanya sambil menambah akhirnya mereka bersetuju untuk memulakan jualan pada Ahad.
Emmawati berkata, pihaknya akan menjual nasi lemak tersebut dengan harga asal RM1.
"Kami membelinya pada harga RM1 dan menjual pada harga sama. Kami tidak ambil sebarang keuntungan kerana ingin membantu Kak Ain sekeluarga," katanya.
image: http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/07/29/nasi-lemak-kak-ain/~/media/3861a73fd4c946caa8bbc47b82694cb3.ashx?la=en
Kak Ain menyediakan nasi lemak sambil mendukung anaknya.
Sementara itu, Nur Ain ketika dihubungi mStar Online mengucapkan rasa syukur di atas niat murni pihak pengurusan Stesen Petronas MRR2 Ampang yang bersedia menjual nasi lemaknya di dalam premis mereka.
"Alhamdulillah, saya amat gembira. Tak sangka masih ada orang di luar sana yang prihatin dan sanggup membantu orang susah seperti saya," katanya yang mula berniaga nasi lemak tiga minggu lalu.
Sejak nasi lemaknya menjadi viral, Nur Ain berkata dia perlu menyediakan kira-kira 300 bungkus nasi lemak setiap hari.
"Memandangkan saya tiada pembantu, saya hanya dapat sediakan 300 bungkus sahaja setiap hari. Itupun tak cukup. Saya tak sangka sambutan yang diterima agak luar biasa," katanya.
Jika sebelum ini kelibat Nur Ain dapat dilihat di stesen minyak itu pada sebelah pagi dan petang, wanita dari Tanah Merah, Kelantan itu memberitahu dia hanya akan berniaga di sebelah pagi sahaja selepas ini.
"Memandangkan pihak stesen minyak akan jual nasi lemak saya bermula esok, saya akan berniaga sebelah pagi sahaja selepas ini. Saya lega sedikit, sekurang-kurangnya saya tidak perlu membawa anak-anak kecil berniaga di waktu petang, lagipun kawasan agak berbahaya untuk mereka," katanya.
Baru-baru ini, kegigihan wanita itu yang menjual nasi lemak ditemani tiga anak yang masih kecil di bawah cuaca panas terik mendapat perhatian netizen.
Seorang pengguna Facebook Lynn Ahmad yang kebetulan berada di stesen minyak itu ternampak wanita tersebut yang menjual nasi lemak berharga RM1 sambil mendukung anak kecilnya.
"Sedih tengok kak ni dengan tiga orang anak dia datang niaga. Akak ni dengan niaga, dengan nak kawal anak lagi," tulisnya.
Menurut status itu, meskipun anak wanita itu masih kecil masing-masing dilihat sabar dan tidak banyak kerenah menemani ibu mereka mencari rezeki.
"Nasib la anak akak ni baik duduk tepi jalan tu, jalan raya kan bahaya kalau buas-buas tapi mereka baik je, tiap petang aku lalu mesti duduk baik je tepi tu tunggu mak dia niaga," tulisnya lagi.
image: http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/07/29/nasi-lemak-kak-ain/~/media/cea2cdc0bfd245bba1758bad6c2c1741.ashx?la=en
Orang ramai beratur untuk membeli nasi lemak Kak Ain.
Pada masa sama, Lynn turut menggesa orang ramai supaya membeli nasi lemak tersebut dengan niat untuk membantu meringankan beban wanita tersebut.
Akhirnya dengan bantuan netizen, kisah wanita itu tersebar di laman media sosial dan ada yang sanggup beratur panjang semata-mata untuk merasai keenakan nasi lemaknya.

No comments:

Post a Comment

Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..