Sunday, September 30, 2018

Fuh Dahsyatt !!! Budak 14 Tahun Jadi Wali Kakaknya

Ogos mandikan jenazah bapa, September remaja 14 tahun jadi wali nikahkan dua kakak.

  (Ubah saiz teks)
PETALING JAYA: Umurnya baharu 14 tahun, namun tanggungjawab sebagai anak tunggal lelaki menjadikan Muhammad Amierul Adlie Basiran lebih matang dari usianya.
Pesanan terakhir yang ditinggalkan oleh arwah bapanya (Basiran Ali) agar mengambil alih tugasnya menjaga keluarga dipegang erat oleh Amierul.
Pelajar Maktab Rendah Sains Mara Muar, Johor itu lancar menikahkan dua orang kakak kesayangan dalam dua majlis berbeza bulan ini.
Menurut sepupu yang rapat dengannya, Mohd Syukri Madnor, pertama kali dalam hidupnya melihat remaja berusia 14 tahun mengijab kabulkan dua lelaki yang kini sah menjadi abang iparnya.
"Majlis pernikahan dua orang kakaknya telah dirancang sebelum  bapa saudara saya (bapa Amierul) meninggal dunia pada Ogos lalu akibat kanser.
Amierul (tengah) bersama dua kakak dan abang iparnya.
"Perkahwinan diteruskan dan apabila kami rujuk dengan Pejabat Agama Islam di Melaka untuk calon menjadi wali, mereka ada tanya sama keluarga ini ada adik lelaki atau tidak.
"Kami beritahu ada, berusia 14 tahun. Apabila diberitahu dia sudah cukup syarat utama, jadi kami putuskan Amierul akan menjadi wali pernikahan kakak-kakaknya.
"Sebelum itu kami memang rancang untuk wakilkan kepada jurunikah, tetapi selepas berbincang dengan semua keluarga dan Amierul, akhirnya dia menjadi wali.
"Malah Amierul sendiri  yakin memberitahu  mahu menjalankan tanggungjawab sebagai anak lelaki dalam keluarga.
"Sebagai salah seorang keluarga rapatnya, saya amat berbangga dengan Amierul yang menunjukkan sifat matangnya itu," jelas Syukri kepada mStar Online.
Tambah Syukri, Amierul menjadi wali buat kali pertama untuk kakak ketiganya (Nur Aina Nabihah Basiran) pada 22 September lalu.
"Sehari sebelum majlis, dia telah berlatih bagi melancarkan majlis akad. Walaupun pada mulanya agak gugup, dia telah melakukannya dengan baik.
"Dan hari ini (29 September), Amierul sekali lagi menjadi wali untuk pernikahan kakak keduanya, Nur Amirah Basirandi di Masjid Tun Syed Ahmad Al-Haj, Bukit Beruang, Melaka.
"Perjalanan majlis bertambah baik. Dia semakin matang dan rata-rata tetamu yang hadir turut terpegun dengan sikap dewasanya itu," katanya.
Dalam pada itu, ibu remaja berkenaan, Rosiah Othman memberitahu dia berasa gembira dengan sikap Amierul yang sedia memikul tanggungjawab sebagai anak lelaki tunggal dalam keluarga.
"Saya dalam tempoh edah dan tidak berada di kedua-dua majlis. Tetapi saya tahu, Amierul telah melaksanakan amanat bapanya dengan baik.
"Sebelum ini juga, dia turut memandi dan sembahyangkan jenazah bapanya.
"Saya tanya juga kepada dia sama ada betul atau tidak dengan keputusan untuk mewalikan kakak-kakaknya itu, dan dia dengan yakin jawab 'ya betul'.
"Sebagai ibu, walaupun usianya masih muda, saya amat bersyukur dengan jiwanya yang besar itu," kata Rosiah.

No comments:

Post a Comment

Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..