Polis menyiasat tempat kejadian. Gambar kecil, Mayura dan suami - Foto Agensi
BANGKOK - THAILAND. Seorang wanita di utara Thailand bertindak menembak suaminya, selepas bergaduh dengan lelaki itu yang enggan memberitahu siapa yang menelefonnya pada lewat malam Hari Velentine lalu.
Menerusi laporan Agensi, kejadian di daerah Kalasin, Jumaat lalu, pasangan berkenaan, Dr Ratthasat, 45, dan isterinya, Mayura, 44, bertengkar ketika makan malam selepas si suami enggan memberitahu siapa menelefonnya pada 14 Februari lalu.
Menurut laporan beberapa portal berita Thailand pula, pertengkaran itu berpanjangan sehingga ke rumah dan dalam keadaan kelam-kabut, wanita berkenaan melepaskan tembakan yang mengenai pipi suaminya.
Portal The Thaiger melaporkan, Mayura yang panik dengan kejadian itu terus menghubungi polis dan mereka mendapati dia berada di sebelah suaminya yang terbaring berlumuran darah.
Sepucuk pistol ditemui di lantai manakala keadaan dalam rumah berselerak dengan pakaian.
Portal Daily News melaporkan, Mayura mengaku tertembak suaminya dengan pistol 9mm itu ketika mereka bertengkar dan dia menghalau suaminya keluar dari rumah.
Menurut jurucakap polis Somdej, Kolonel Thaweesak Raksasin, wanita itu mendakwa suaminya menerima panggilan telefon daripada seseorang dan mengelak pertanyaannya serta enggan memberitahu siapakah gerangan pemanggil itu.
Mayura kini menghadapi dakwaan cubaan membunuh namun dakwaan mungkin lebih berat bergantung kepada keadaan suaminya yang cedera parah dan masih dirawat di hospital.
Pasangan itu juga mempunyai dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..