KUANTAN - Polis di sini semalam menahan dua lelaki berusia 32 dan 36 tahun kerana melakukan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki yang memuat naik komen jelik terhadap Yang Di-Pertuan Agong.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Nor Yusof Ali berkata, polis turut melakukan siasatan ke atas lelaki berusia 45 tahun berkenaan berhubung komen yang dimuat naik di laman Facebook kelmarin.
"Pada 31 Januari kira-kira pukul 4 petang, pengadu melayari Facebook dan telah menulis komen 'Muka mcm end of the world'.
"Selang beberapa minit, pengadu mendapati banyak pengguna Facebook memberi reaksi kurang senang terhadap komen tersebut.
"Apabila diperiksa, pengadu dapati komen 'Muka mcm end of the world' itu berada di ruang sembang yang tertera gambar Yang Di-Pertuan Agong," katanya menerusi kenyataan kepada pemberita.
Tambah beliau lagi, lelaki berkenaan kemudian bertindak memadam komen tersebut pada hari yang sama selepas dikecam pengguna Facebook.
"Bagaimanapun, pada kira-kira pukul 4.30 petang esoknya (semalam), dua lelaki datang ke kedainya dan berlaku pertengkaran serta diajak bergaduh disebabkan komen tersebut di Facebook.
"Pengadu membuat laporan polis dan dua lelaki tersebut telah ditangkap untuk disiasat. Berhubung komen tersebut di Facebook, polis juga sedang melakukan siasatan," katanya. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..