Hukum penganjur program
Keratan Sinar Harian,semalam. (Gambar kecil: Young Syefura)
KUANTAN - Tindakan tegas harus dikenakan terhadap penganjur dan penyelia program motivasi yang melakukan aktiviti sambil berbogel di sebuah pusat peranginan di sini, Isnin lalu.
ADUN Ketari, Young Syefura Othman berkata, tindakan undang-undang juga perlu diambil terhadap pemilik hotel kerana membenarkan program diadakan memandang kejadian sama pernah berlaku di situ pada Januari 2017.
Menurutnya, tindakan perlu dilakukan bagi mengekang sebarang perbuatan melampau dan lucah berulang dan tidak menjadi tidak menjadi ikutan pihak lain terutama dalam kalangan generasi muda.
“Ini merupakan satu perbuatan sengaja dilakukan dan sememangnya tindakan tegas perlu diambil.
“Perkara ini sepatutnya tidak berlaku kerana ia sememangnya salah di sisi undang-undang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Young Syefura berkata, beliau juga telah merujuk perkara itu kepada polis agar tindakan tegas diambil kerana aktiviti itu telah mencemarkan imej negara.
Menurutnya, pihaknya juga akan berjumpa dengan pemilik dan pihak pengurusan pusat peranginan tersebut bagi membincangkan mengenai kejadian tersebut yang tidak sepatutnya berlaku di daerah ini
“Saya belum lagi berkesempatan untuk berjumpa dengan pemilik resort tersebut namun saya telah merancang dalam masa terdekat ini untuk berjumpa dengan mereka sebab apa perkara ini berlaku lagi.
“Saya sememangnya mahukan tindakan tegas dikenakan kepada kedua-dua pihak (penganjur dan pemilik resort) dan mereka perlu bertanggungjawab kerana perkara itu memalukan budaya kita sebagai rakyat Malaysia kepada mata orang luar.
“Walaupun tempat tersebut merupakan pusat peranginan persendirian tetapi undang-undang tetap undang-undang dan perlu dipatuhi. Sepatutnya mereka (resort) perlu letak pengawasan memantau aktiviti para peserta tersebut,” katanya.
Sinar Harian semalam melaporkan perbuatan tidak senonoh sekumpulan peserta wanita yang mengikuti kursus motivasi dengan mengenakan pakaian dalam di kawasan sebuah pusat peranginan di Bukit Tinggi mengundang rasa tidak senang penduduk setempat.
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..