Sunday, April 26, 2020

Dah tak lucu! Ahli grup FB masakan popular lapor polis selepas terguris hati foto masakan dihina


Dah tak lucu! Ahli grup FB masakan popular lapor polis selepas terguris hati foto masakan dihina - “Mereka macam tak puas hati”

Wanita itu mendakwa ada dua individu yang menghina masakannya dalam Facebook tersebut. (Gambar Hiasan)
KEMUNCULAN kumpulan Facebook 'Masak Apa Tak Jadi Hari Ni' bagaikan menjadi penyeri dalam tempoh getir rakyat Malaysia menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Malna tidaknya, dalam tempoh singkat sahaja ia berjaya mengumpul lebih 1.6 juta pengikut sejak ditubuhkan sekitar seminggu lalu.
Paling membanggakan tentunya sewaktu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut bercakap mengenainya pada perutusan khas Ramadan, Khamis malam.
Namun kini, laman Facebook itu seolah-olah terpalit dengan cerita kurang enak apabila tularnya satu salinan laporan polis di media sosial.
Dalam laporan berkenaan, seorang wanita mendakwa dua individu telah menghina masakannya dengan meninggalkan komen berbaur kesat menerusi postingnya di Facebook tersebut.
Mengikut butiran yang tular, laporan itu dibuat di Balai Polis Pasir Putih, Ipoh, Perak.

Sebahagian laporan polis yang tular.
"Saya telah melihat satu post grup Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official dan ada dua pemilik akaun telah menghina masakan saya.
"Mereka seolah-olah tidak puas hati dan komen yang bukan-bukan tentang masakan saya.
"Siap ada gambar babi dan sebagainya. Komen mereka seperti tidak puas hati dengan masakan saya," demikian kata wanita itu dalam laporannya.
Mohon sesiapa ada menghina atau berkata kesat, report pada admin grup, bukan pihak polis. Mereka banyak kerja yang mereka nak selesaikan lagi.
QIQI
MODERATOR GRUP
Tambahnya, dia sekadar berkongsi gambar makanan sahaja di laman Facebook tersebut dan tidak meminta untuk diberikan kata-kata hinaan.
"Tujuan saya buat laporan polis adalah untuk minta mereka memohon maaf secara terbuka dan untuk rujukan pihak berkenaan," kata wanita itu lagi.
Dalam pada itu, rata-rata netizen meluahkan rasa kurang setuju dengan tindakan wanita tersebut.

Grup Facebook ini menjadi popular sejak ditubuhkan baru-baru ini.
Malah warga Facebook berpandangan, dia tidak sepatutnya membebankan polis dengan kes sedemikian, tambah-tambah lagi pihak berkuasa kini cukup sibuk dalam berhadapan PKP dan Covid-19.
Menurut salah seorang moderator grup Facebook itu yang dikenali sebagai Qiqi, dia berpendapat hal itu sepatutnya dilaporkan kepada pengendali Facebook berkenaan.
Malah, dia turut menasihati pengikut grup berkenaan agar menjaga tutur kata bagi mengelakkan kejadian sedemikian rupa berlaku lagi di lain waktu.


Grup Facebook itu turut disebut oleh perdana menteri dalam perutusannya Khamis lalu.
"Mohon sesiapa ada menghina atau berkata kesat, report pada admin grup, bukan pihak polis. Mereka banyak kerja yang mereka nak selesaikan lagi.
"Tolong jangan bebani pihak berkuasa dengan masalah remeh-temeh dan tolong, kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai.
"Dan mohon semua jaga tutur kata bagi mengelak grup kita bersama dari menjadi kecaman netizen dan grup atau page lain," ujarnya.


Seorang wanita mendakwa masakannya dihina oleh dua individu.
Dalam pada itu, ada juga yang meluahkan rasa kurang senang dan berhasrat meninggalkan grup Facebook tersebut.
Menurut seorang wanita, kebanyakan posting grup Facebook masakan itu kelihatan terlalu mencuba untuk menjadi lucu demi mendapatkan perhatian dan like semata-mata.
"Pasal masak-masak pun report polis guys. Aku dah rasa nak leave dah page Masak Apa Tak Jari Hari Ni.
"Sorry la pada siapa yang aku invite tu. Mula-mula nampak lucu, lepas dua, tiga hari ramai yang mengarut.
"Try hard tepek gambar Google," ujar wanita dikenali sebagai NNa Irahana itu.
Bagaimanapun, usaha mencari posting asal yang memaparkan foto makanan milik wanita tersebut gagal ditemui, dipercayai sudah dipadam.
Tags/Kata Kunci:

1 comment:

Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..