Tuesday, October 20, 2020

Hilang sebelah kaki kerana derita kanser tulang, hebatnya remaja OKU aktif sukan ini cekap buat roti puri... terbentuk elok jadinya! -

 




Siapa sangka, di sebalik kekurangannya, remaja bernama Wan Arif ini cekap membuat roti puri.

DI sebalik kekurangan, pasti ada kelebihan.

Itulah kata-kata yang sesuai untuk menggambarkan keistimewaan seorang remaja yang dikategorikan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU), Wan Arif Firdaus.

Jika dilihat daripada mata kasar, Wan Arif kelihatan sama seperti remaja lain yang seusia dengannya.


Namun siapa sangka, di sebalik kekurangannya yang hanya mempunyai sebelah kaki kerana menderita kanser tulang beberapa tahun lalu, Wan Arif handal membuat roti puri!

Kisah remaja berusia 16 tahun ini mula menjadi perhatian selepas gambarnya membantu ibu, Zetty Firdaus Ramli di warung kecil mereka dikongsikan di Facebook.



Wan Arif mula belajar membuat roti puri daripada ibunya sejak setahun lalu.

Berkongsi cerita dengan mStar, ibu kepada Wan Arif yang senang disapa Kak Zetty berkata anak sulungnya itu sememangnya rajin membantunya di warung mereka bagi menambah sumber pendapatan untuk menampung kos perubatan.

"Wan Arif membantu saya di warung ini sejak setahun yang lalu. Kami berniaga makanan seperti laksa, mi kari, nasi lemak berlauk dan roti puri bermula pada pukul 5.30 petang hingga malam.

"Pada mulanya saya yang masak semua menu dan dia hanya menolong sahaja. Namun tak sangka bila dia buat roti puri, semuanya menjadi terbentuk cantik.

"Ada masanya dia tak sihat dan saya ambil alih buat kuih tu tapi sekarang tak menjadi dah. Kalau dia tak sihat, saya tidak berniaga sebabnya tak ada orang nak buat roti puri," cerita wanita berusia 37 tahun ini.



Warung Zetty yang terletak di Kampung Sentang, Batu Gajah, Perak.

Menurut wanita kelahiran Batu Gajah, Perak ini lagi, dia sendiri tidak menyangka kisah anaknya menjadi tular, namun ujarnya, dia tidak pernah berniat untuk meminta sumbangan.

"Kami memang berniaga kecil-kecilan untuk menambahkan sumber pendapatan. Alhamdulillah mungkin apabila tular, secara tak langsung diharapkan membuka pintu rezeki apabila ramai yang tahu mengenai warung ini," katanya.

Bercerita serba ringkas mengenai penyakit Wan Arif, Zetty berkata segala-galanya bermula pada 2012 apabila anaknya itu sering mengadu sakit kaki kiri.


"Kami pun bawanya ke hospital di sini sebelum dirujuk ke sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya, Selangor. Akhirnya doktor mengesahkan anak saya menghidap kanser tulang.

"Tempoh 2012 sehingga 2014, keluarga kami struggle mencari rezeki sebab nak biayai kos perubatan Wan Arif. Pada 2016, kakinya dipotong atas kemahuan sendiri kerana tidak tahan menahan kesakitan apabila dimasukkan besi bagi menggantikan tulang.

"Sejak itu Wan Arif memakai kaki palsu namun kini dia memerlukan kaki palsu yang baharu sesuai dengan perkembangannya dan kegunaan untuk aktiviti sukan. Ini kerana Wan Arif aktif seperti bermain badminton, futsal dan berenang.



Keadaan Wan Arif ketika mula-mula menjalani rawatan selepas disahkan menghidap kanser tulang.

"Kos kaki palsu yang baharu ini bukan sedikit, ditambah pula kos ulang alik untuk rawatan di Petaling Jaya bukan murah. Dengan berniaga inilah kami ikhtiar mencari rezeki, di samping pendapatan suami yang bekerja di bahagian dobi hospital," ujarnya.

Bercerita lebih lanjut, Zetty berkata sungguhpun Wan Arif dikategorikan sebagai insan istimewa namun dia bersyukur anaknya kini bebas daripada kanser.

"Syukur, Wan Arif disahkan bebas daripada kanser namun dia masih perlu melakukan ujian darah seperti yang dijadualkan.



Wan Arif (dalam bulatan) aktif melakukan aktiviti dan tidak menjadikan kekurangannya sebagai alasan.

"Melihat Wan Arif sekarang, saya bersyukur dan gembira kerana keadaannya kini jauh berbeza daripada dahulu. Dulu memang nampak wajahnya seperti orang yang menderita sakit, namun kini dia remaja yang ceria.

"Kepada ibu bapa yang juga mempunyai anak istimewa, jangan rasa terbeban. Anggap mereka ini kekuatan dan inspirasi kepada kita untuk terus hidup. Jagalah mereka seikhlas hati, insyaAllah pasti terbuka pintu rezeki," akhirnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

No comments:

Post a Comment

Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..