Sunday, December 6, 2020

Pelanggan merungut harga kuih 50 sen sebiji, tapi terus terkedu bila peniaga bagi jawapan ‘makan dalam’ - “Makcik tak nak duit kau dik... sedekah”

 

Seorang pelayar berkongsi kisah pelanggan yang merungut kerana mendakwa harga kuih yang dibelinya di gerai agak mahal. Gambar hiasan

KUIH tradisional Melayu pasti memikat selera sesiapa sahaja.

Bukan hanya disajikan sebagai pemanis mulut ketika sarapan atau minum petang bersama, namun ia juga sering menjadi pilihan untuk dihidangkan ketika majlis keraian.

Kuih-muih seperti koci, lepat, ketayap, seri muka, kuih lapis, keria, bingka, kuih cara dan sebagainya adalah antara kuih yang sering dicari ketika berkunjung ke gerai.

Di sebalik rasanya yang lazat, proses penyediaannya juga begitu renyah kerana memerlukan bahan-bahan khusus, cara penyediaan yang berbeza serta memakan masa yang agak lama.

Justeru tidak hairanlah harga kuih tradisional pada masa kini mencecah di antara RM0.50 sehingga RM0.80 sebiji, tambahan pula harga barang keperluan di pasaran sentiasa meningkat.

Namun begitu, ada pula segelintir individu yang sewenang-wenangnya meminta diskaun kepada penjaja kuih kerana merasakan ia terlalu 'mahal' dan tidak sepadan dengan standard harga jualan di gerai, sebagaimana kisah yang dikongsikan oleh seorang pelayar di Facebook.



Kuih tradisional memerlukan kemahiran dan memakan masa yang agak lama untuk dibuat.

"Perbualan penjual kuih dengan seorang perempuan muda Melayu bekerjaya, saya cuma pasang telinga saja. '50 sen satu kuih? Kenapa mahal benar ni cik?' tanya Nora (bukan nama sebenar) secara berseloroh.

"50 sen sebiji pun, untung bukan banyak pun dik. Sebijik makcik jual 50 sen. Untung sebiji paling banyak pun 20 sen, 30 sen, itu pun lepas tolak kos bahan sahaja. Kos masa, kos renyah buat kuih, kos elektrik, semua tu makcik pun tak pandai la nak kira macam mana," tulis pelayar berkenaan mengimbas kembali perbualan di antara peniaga dan pembeli.

Dalam masa yang sama, peniaga itu turut mengambil kesempatan menceritakan kisahnya yang membuat kuih berseorangan tanpa dibantu sesiapa, selain terpaksa bersedia beberapa jam lebih awal.

Menurut peniaga itu lagi, bukan sahaja keuntungan yang diperoleh terlalu sedikit, malah kadang kala penatnya seakan-akan tidak berbaloi apabila pelanggan yang datang membeli boleh dikira dengan jari.


Bagaimanapun ujarnya, hanya ada satu perkara yang membuatkannya terus bertahan untuk berniaga kuih muih.

"Pada makcik, tak apa makcik untung sikit, makcik cukup makan, sebab makcik tau, ada ramai orang kat luar sana yang macam adik, nak makan kuih orang kita. Pada makcik, ni semua sumbangan makcik pada anak-anak jugalah.

"Makcik orang Melayu. Makcik boleh meniaga sushi ke, dorayaki ke, harga pun sebijik RM2, jual 10 dah macam untung makcik sehari, barang pun ambik dari pembekal, tak perlu renyah-renyah buat semua.

"Tapi dik, kalau makcik buat macam tu, siapa lagi nak jual kuih-kuih ni dekat adik? Makcik itu menghulurkan duit RM3 semula kepada Nora.

"Makcik tak nak duit kau dik, makcik sedekah. Tiap-tiap orang yang beli kuih dengan makcik dan dia kata mahal, makcik bagi balik duit kat dia dan makcik sedekahkan," tulis pelayar itu lagi sebagaimana luahan peniaga berkenaan.



Komen netizen yang turut sependapat dengan perkongsian pelayar berkenaan.

Tambah pelayar itu lagi, tindakan peniaga tersebut jelas memeranjatkan pelanggan wanita berkenaan, namun jawapan yang diberikan lebih membuatkan mereka terpana.

"Kalau orang Melayu tak nak tolong orang Melayu yang tak mampu, tak ada orang lain lagi yang akan tolong orang kita. RM0.50 sebiji adik kata mahal, tak mampulah tu," tulis pelayar itu lagi sambil menambah, peniaga berkenaan kelihatan benar-benar ikhlas bersedekah.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih 393 shares.

Rata-rata netizen turut meluahkan rasa kecewa dengan sikap segelintir individu yang mempertikaikan harga kuih-muih tradisional.

"Terkenang dulu buat kuih kadang tak jadi, kena buang. Lepastu yang jadi pula orang cakap mahal bila dijual," komen seorang netizen.

Tq Mstar

1 comment:

  1. Melayu tolong melayu?

    Aku nak story tahun lewat awal 90an di Melbourne Australia. Aku dah bermastatutin lama dan diwaktu di Australia dimana waktu tuh cukup ramai pelajar melayu-muslim Malaysia di Melbourne jer beratus kalau tak beribu.

    Ada sorang pelajar anak orang 'berada' gaya nya minta tolong kat aku selok belok perniagaan IT-Computer (aku dah IT Engineer di sebuah syarikat waktu tuh) sehingga ada alat alat computer yang dah di beli pelanggan dia yang masih menuntut aku tolong bereskan (percuma dan ikhlas membantu).

    Potong cerita panjang jadi pendek sampai budak pelajar 'berada' tuh dah boleh buka kedai peralatan computer (dah 30 tahun dulu beb!) aku singgah kat kedai/office dia (sebab aku bekerja Field Service Engineer bergerak-travel selalu) dan cukup bangga dengan pencapaian dia kerana banyak perkara Allah beri aku usaha-sebahagian dari kejayaan dia bersebab aku.

    Yang tak aci apabila belum aku buka pertanyaan dan tiada niat pun budak student Malaysia 'berucap' dia cukup steady dan dah ada 'supplier' direct tapi dia tak boleh bilang dan tak boleh beritahu pada aku.

    Pengajaran nya melayu bila di tolong pulak lupa daratan dan tidak mengambil iktibar untuk menolong orang lain tak semesti orang yang memberikan tunjuk ajar pertama sebagaimana Tun M walau jasa dia terlalu banyak dan era 90an dia cukup dikutuk di Australia tapi aku mempertahankan nya dari lemparan kekata tidak manis dari cina india melayu di luar negara sehingga sekarang aku di benua Amerika Utara namun tidak dia meminta balasan sampai lewat 96 tahun umur dia masih hendak memperbetulkan keadaan negara yang akibat dari punya tamak, dengki dan irihati orang melayu tuh sendiri!

    Aku tukar prinsip bantu dan tolong sesama manusia tidak kira agama, hanya Allah maha Mengetahui! Ada ramai bebudak (bukan muslim) aku pernah memberi pentunjuk ajar masih ingat kat aku walau sudah lebih 20 tahun dan aku pun dah lupa jasa baik apa aku buat kat dorang tuh!

    Selagi kita tak ubah perangai selagi tuh melayu akan porak peranda sebagaimana kita lihat keadaan Tanah Melayu sekarang.

    Kongsi pandangan saja, baik boleh pakai, burok hindar kan saja tak perlu marah marah!

    MLN

    ReplyDelete

Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..