Tayar motor pecah, remaja terpaksa tolak sendirian sampai 10km... tak sangka tiba-tiba 'uncle' muncul - “Dia tak mahu walau berkali-kali nak bagi sagu hati”
BAGI penunggang motosikal, situasi kehabisan minyak petrol atau motosikal mengalami kerosakan ketika sedang menunggang di lebuh raya adalah antara perkara yang menakutkan mereka.
Begitu jugalah halnya dengan remaja ini apabila tayar belakang motosikalnya pecah ketika menunggang berseorangan di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).
Bayangkan, lokasi kejadian ketika itu berjauhan dengan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) manakala susur tol paling hampir pula terletak kira-kira 10 kilometer jauhnya.
Namun siapa sangka, kehadiran seorang pemandu lori berbangsa India membuatkan remaja ini terhutang budi dengan pertolongan ikhlasnya.
Mengimbas kembali peristiwa itu, remaja yang hanya mahu dikenali sebagai Danish berkata ketika itu dia dalam perjalanan dari Tapah ke Ipoh bagi mengambil tayar motosikalnya yang ditinggalkan di rumah sahabatnya.
"Rancangannya, saya ke rumah abang dulu di Ipoh untuk pinjam keretanya dan kemudian ke rumah rakan untuk ambil tayar. Tak sangka tayar motor yang saya naik tu pecah. Ironi pula.
Seorang lelaki India menawarkan bantuan untuk menghantar Danish ke bengkel dengan menaiki lorinya.
"Ketika menunggang, saya rasa goyang-goyang tapi bawak perlahan-lahan. Tapi makin tak boleh dikawal dan saya berhenti di lorong kecemasan. Rupa-rupanya getah tayar dah terkeluar rim.
"Saya terus telefon polis peronda PLUS... 10 minit kemudian mereka tiba, tapi tak dapat bantu kerana di luar kemampuan mereka. Tiada pilihan, saya terpaksa tolak motor perlahan-lahan untuk ke susur Plaza Tol Gopeng yang terletak kira-kira 10 kilometer dari situ," ujar remaja berusia 18 tahun ini.
Menurut Danish, kira-kira 10 minit menolak motosikalnya seorang diri, tiba-tiba sebuah lori berhenti di lorong kecemasan sejauh kira-kira 50 meter di hadapannya.
"Saya ingatkan lori tu rosak... tapi pemandu dia tak keluar pun. Bila motor saya hampir, barulah pemandunya keluar. Dia tengok tayar motor saya dan offer untuk tolong hantarkan.
"Saya beritahu nak ke Ipoh. Dia pun beritahu nak ke lokasi sama. Saya mulanya segan sebab takut menyusahkan tapi dia tetap nak tolong.
Danish membuat ciapan di Twitter kerana mahu berkongsi kisah kemanisan perpaduan sebagai rakyat Malaysia.
"Uncle tu walaupun dah berusia, tapi tenaganya memang kuat. Dia yang tolong angkat motor ke atas lori, saya pula jaga bahagian belakang.
"Syukur sangat uncle ni berhentikan lori dan offer bantuan. Sebelum tu saya tak tahan mana-mana kenderaan pun sebab tak nak menyusahkan orang," katanya yang juga pelajar sebuah Kolej Matrikulasi di Kedah.
Kata remaja ini lagi, lelaki berkenaan menghantarnya ke sebuah bengkel motosikal sebelum berlalu pergi kerana mempunyai urusan lain.@thestar.com.my
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..