Baru 3 hari jual ikan, anak sedih lihat bapa tunggu pelanggan tak kunjung tiba... dulu pernah buka kopitiam 10 tahun - “Mungkin orang tak perasan lagi”
LANGIT tak selalunya cerah, begitu juga yang dihadapi golongan peniaga di negara ini.
Ada hari banyak untung, ada hari lain pula mereka termenung menunggu kehadiran pelanggan.
Di Twitter, seorang pelajar dikenali sebagai Hazwani Sofia, 22, tampil membuat hebahan mengenai pasar segar milik bapanya, Hazizal Alias, 60, yang baru sahaja dibuka Jumaat lalu.
Mesra disapa Sofia, dia mengakui sedih melihat bapanya seolah-olah susah hati apabila kedai yang menjual pelbagai jenis makanan laut, ayam dan sayur-sayuran itu kurang mendapat sambutan pelanggan.
"Assalammualaikum. Minta jasa baik korang untuk Retweet (ulang kicau) ayah saya punya pasar segar baru buka tiga hari lepas.
"Hari ni tak ada orang langsung... ayah dah susah hati. Kesian tengok," tulis Sofia di Twitter pada Isnin sehingga meraih hampir 7,000 perkongsian netizen.
Pasar segar yang dibuka di Lorong Titiwangsa 2, Taman Bukti Setia, Ampangan, Negeri Sembilan.
Sewaktu dihubungi mStar, pelajar bidang Mikrobiologi itu mengakui terharu dengan sokongan netizen yang diberikan buat dia dan keluarga.
"Saya terharu, sebab hari ini (Isnin) tiada orang datang. Ayah dah susah hati, modal jual ikan juga agak besar.
"Walaupun ayah tak tunjuk dia sedih, saya boleh faham. Saya yang tengok pun rasa sedih. Rasa kesian tengok dia tunggu orang datang.
Dalam berniaga, saya tak ada petua kecuali kena sabar. Kalau semata-mata nak cari untung, tak boleh buat.
PAK TAM
"Jadi saya kongsi di Twitter. Sangat terharu dengan sambutan ramai. Ramai yang mesej tanya lokasi, ada yang minta buat penghantaran dan sebagainya selepas posting itu tular," ujar Sofia.
Menurut anak kelima daripada enam beradik itu, bapanya sebelum ini pernah mengusahakan kopitiam bersama ibunya, Jun Elyanis Mashhor, 50, namun ia sudah ditutup pada Februari lalu.
Kini, ibunya mengusahakan sebuah kafe bersebelahan kedai ikan bapanya di Lorong Titiwangsa 2, Taman Bukti Setia, Ampangan, Negeri Sembilan yang terletak tidak jauh dari kediaman mereka.
Kedai makan ibu Sofia yang terletak dalam lokasi sama dengan pasar segar bapanya.
"Sebelah pasar segar ayah, mak buka kafe, kedai makan macam warung. Sebelum ni dalam 10 tahun berniaga kopitiam.
"Sekarang ni kedai makan mak dengan pasar segar ayah bersebelahan dalam satu tempat, cuma dipisahkan dengan tembok," kata penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang itu.
Dalam pada itu, bapa Sofia yang mesra disapa Pak Tam mengakui apa yang berlaku itu merupakan asam garam dalam dunia perniagaan.
Sofia terharu dengan sokongan ramai yang diterima di Twitter.
Malah besar harapannya agar kedai yang dibuka semakin dikenali dan menjadi pilihan orang ramai selepas ini.
"Saya sebelum ni berniaga restoran dah 10 tahun. Kemudian ditutup sebab tak cukup kakitangan, tiada siapa yang nak bantu. Ditambah dengan terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi.
Antara menu yang ditawarkan oleh ibu Sofia.
"Saya pula minat ikan, kenal jenis-jenis ikan. Ikan di kedai ini supply dari Langkawi, Kedah. Mungkin sekarang orang tak perasan lagi kedai ini.
"Nak berniaga tak boleh sedih. Cuma kita risau sebab ikan tak boleh simpan lama, nanti tak segar.
"Dalam berniaga, saya tak ada petua kecuali kena sabar. Kalau semata-mata nak cari untung, tak boleh buat," ujarnya.
Selain seleksi ikan laut seperti kerapu, terubok, tenggiri, jenahak da banyak lagi, Pak Tam turut menjual ikan sungai di kedainya itu.
Dalam pada itu, Pak Tam turut berterima kasih atas sokongan netizen selepas kisah kedainya dikongsi di Twitter oleh Sofia.
Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Tolong sewa @ beli freezer2 gergasi dr. NEKMAT, persatuan Nelayan Kebangsaan!! Bagusnya Peniaga2 ORANG ASAL Islam/Melayu kita yg. CEKAL & GIGIH ni!!
ReplyDeletePak Tam, walau bukan Nelayan, boleh minta Sewa @ beli Freezer2 ni, di - https://www.nekmat.com.my/nekmatweb/index.html
Delete