“Nak joging pun tak senang” - 4 anak kambing seronok ikut wanita ini berlari sambil panggil ‘mak, mak’... pernah jatuh kolam sebab ‘brek tak makan’
COMELNYA! Begitulah yang dapat digambarkan apabila melihat seorang wanita yang sedang berjoging sambil sekumpulan kambing mengikutnya dari belakang.
Menerusi video yang dikongsi di aplikasi TikTok, kambing-kambing tersebut mengembek sehingga kedengaran seperti memanggil emak.
"Mak nak joging pun tak senang, susah betul ramai anak ni. Dengar betul-betul, asyik panggil mak, mak, mak, je," tulisnya menerusi video yang meraih lebih 100,000 tontonan.
Wanita berkenaan, Nor Haniza Mohamad Noor berkata, empat ekor kambing itu dibelanya di sebuah kandang kecil di tepi kolam ikan pancing yang diusahakannya di Rawang, Selangor.
Nor Haniza berkata, sudah menjadi rutinnya berjoging pada setiap petang di mana kesemua anak-anak kambing akan turut mengikutnya mengelilingi kolam ikan.
"Pukul 3 petang anak-anak kambing ini akan dilepaskan keluar dari kadang, dan masuk balik pukul 7 malam. Sebelum lepaskan keluar kena beri minum susu dulu
"Memang seronok bila anak-anak kambing ikut sekali. Kelakar pun ye juga sebab mereka akan memangil-manggil dan nak ikut berlari juga," katanya berusia 49 tahun kepada mStar.
Empat ekor anak kambing dan seekor memerang yang dibela Kak Jerung.
Lebih dikenali sebagai Kak Jerung, katanya, dia sebelum ini pernah membela kira-kira 100 ekor kambing tetapi dijual berikutan terdapat masalah berkaitan dengan kawasan belaan.
"Empat ekor anak kambing ni yang baru beli. Saya cari anak-anak kambing yang kematian ibu. Bila tak ada ibu, saya boleh bela bagi kambing-kambing ni manja dan jinak.
"Saya bawa anak-anak kambing makan di sekitar kolam dan minum susu lima kali sehari," katanya sambil menambah anak-anak kambingnya diberi nama Mail, Tek, Abu dan Farah.
Kolam ikan pancing yang diusahakan di Rawang.
Mengusahakan kolam ikan pancing sejak empat tahun lalu, Kak Jerung yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan turut membela seekor memerang yang diberikan nama Awe.
"Si Awe ini dilepaskan tetapi sangat jinak. Dia pernah ikut saya joging sejauh tujuh kilometer. Selagi saya tak habis joging, dia tak akan balik dan mengikut je.
Banyak kenangan manis dan lucu bersama anak-anak kambing ni. Tidak dapat digambarkan betapa saya sayang sangat pada mereka yang saya anggap macam anak sendiri
KAK JERUNG
"Anak-anak kambing hanya ikut joging di sekitar kolam saja, saya tak bawa mereka jauh," ujarnya yang merupakan ibu kepada seorang cahaya mata lelaki.
Berkongsi pengalaman lucu, Kak Jerung yang juga penjual ikan air tawar berkata, anak-anak kambingnya begitu manja setiap kali diberikan susu.
Kak Jerung bersama memerang yang mengikutnya berjoging.
"Mereka ni macam budak-budak, suka lompat-lompat berebut susu. Ada yang pernah terjatuh kolam... berlari nak minum susu, tapi 'brek tak makan' terus masuk kolam.
"Tapi jatuh kat tepi kolam je, tak dalam. Setiap kali terjatuh kolam, saya selamatkan menggunakan sauk," ujarnya secara berseloroh.
Kak Jerung begitu sayang dengan anak kambing dan memerangnya.
Walaupun haiwan, Kak Jerung mengambil berat terhadap anak-anak kambingnya yang dianggap seperti anak sendiri.
"Banyak kenangan manis dan lucu bersama anak-anak kambing ni. Tidak dapat digambarkan betapa saya sayang sangat pada mereka yang saya anggap macam anak sendiri," katanya .. Mstar