Tak hirau dipandang rendah masuk kolej vokasional, remaja ini gembira mampu dapat duit lebih hanya dengan buat live aktiviti di asrama
SETIAP individu melalui kisah dan perjalanan berbeza-beza sebelum meraih kejayaan dalam hidup mereka.
Ada dalam kalangan kita yang lebih cenderung ke arah akademik, namun ada pula yang cemerlang dalam bidang kemahiran.
Bagi Raja Muhammad Nazrin Raja Roslan, 17, dia percaya usaha kerasnya menuntut ilmu di Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD), Negeri Sembilan pasti akan membuahkan hasil suatu hari nanti.
Mesra disapa Naz, dia mengakui gembira dapat mempelajari bidang Penyejuk Bekuan dan Penyaman Udara sejak tahun lepas, malah memasang impian untuk bergelar pendidik suatu hari nanti.
"Saya sambung belajar di KVPD masa tingkatan empat. Saya masuk ke sini bukan atas dorongan sesiapa, tapi memang minat diri sendiri.
"Sejak masuk belajar di sini, saya banyak mempelajari ilmu dan kemahiran berkaitan aircond.
"Saya juga berhasrat untuk menjadi pensyarah suatu hari nanti. Tak kisahlah mengajar di mana-mana, tapi saya nak jadi pendidik," ujarnya kepada mStar.
Naz menyimpan impian untuk memiliki 100,000 subscribers YouTube.
Bercerita lanjut, anak sulung daripada empat beradik itu mendedahkan ada segelintir rakan memandang rendah sewaktu dia menyambung pengajian ke KVPD.
Namun kata Naz, dia tidak kisah akan tanggapan orang dan menganggap ia sebagai pembakar semangat untuk terus cemerlang dalam bidang yang diceburi.
Saya bersyukur dapat jana pendapatan sendiri melalui media sosial.
NAZ
"Memang ada kawan-kawan sekolah lama yang pandang rendah. Ada yang cakap saya tiada masa depan.
"Tapi saya percaya dengan rezeki dan ketentuan Allah. Bila kawan cakap macam tu, saya rasa lagi bersemangat untuk buktikan kata-kata mereka salah," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Naz baru-baru ini turut terlibat sebagai pelakon dalam pertandingan video pendek berkaitan institusi pengajiannya, sekali gus dapat membuka mata orang ramai mengenai KVPD.
Naz turut berkongsi video itu di TikTok sehingga meraih lebih 200,000 tontonan dan turut dihujani pelbagai komen netizen.
Naz turut berkongsi kisah kehidupan asrama menerusi YouTube.
"Setakat ini dah dua kali saya jadi pelakon ketika belajar di KVPD. Selepas saya kongsi video itu di TikTok, ramai alumni yang komen. Ramai dalam kalangan mereka dah berjaya.
"Selain itu, ramai juga pelajar yang berminat nak masuk belajar macam saya bertanyakan macam-macam soalan.
"Nasihat saya, rezeki Allah ada di mana-mana. Ada banyak bidang dalam vokasional. Boleh ikut minat masing-masing. Kalau minat, boleh memohon. Abaikan saja cakap-cakap orang," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Naz turut aktif menghasilkan content di TikTok dan turut bergelar YouTuber.
Naz mahu menjadi pensyarah suatu hari nanti.
Kata Naz, dia turut meraih pendapatan melalui siaran langsung (live) di TikTok selain ditawarkan reviu produk yang dianggap sebagai rezeki tak disangka-sangka.
"Saya ada buat video YouTube, berkaitan kampung halaman, pengalaman di asrama dan banyak lagi.
"Sekarang baru ada dalam 3,900 subscribers dan saya sasarkan untuk dapat 100,000 subscribers suatu hari nanti," katanya yang bersyukur dapat jana pendapatan sendiri melalui media sosial kerana sekurang-kurangnya dapat digunakan untuk tampung kos hidupnya.