Sunday, February 13, 2022

Tragis... mahu imbas momen melamar isteri di gunung, doktor maut terjatuh dari ketinggian 91 meter

 

Dr Jamie Butler terjatuh dan meninggal dunia ketika melawat Striding Edge untuk mengimbas momen romantis melamar isteri. Foto: getty Images

SEORANG doktor maut selepas terjatuh daripada ketinggian 300 kaki (91 meter) ketika dia dan isterinya melawat pergunungan Striding Edge, Lake, iaitu lokasi dia melamar pasangannya 27 tahun lalu.

Dr Jamie Butler, 54, melamar isterinya, Margaret, di lokasi berkenaan pada 1994.

Pasangan dari Altrincham, Greater Manchester, itu kembali ke Lakes pada 2 November tahun lalu untuk mengimbas momen romantis bersama-sama.

Bagaimanapun, kunjungan romantis itu berakhir dengan tragedi apabila doktor berkenaan tersilap langkah ketika suasana berkabus, demikian hujah ketika pendengaran inkues kematiannya.

Mahkamah di Cockermouth juga diberitahu, bahawa gunung itu mempunyai tempat yang istimewa di hati pasangan berkenaan.

Sementara itu balu mendiang memberitahu, dia melihat suaminya berjalan di dalam suasana berkabus untuk mencari lokasi yang tepat ketika membuat lamaran 27 tahun lalu.

Namun lelaki itu 'ghaib' tidak lama kemudian, dan tidak memberikan sebarang maklum balas apabila dipanggil.

Wanita itu memutuskan untuk menghubungi polis kerana bimbang sesuatu telah berlaku kepada suaminya.

Pasukan penyelamat kemudian menemui Dr Butler, 300 kaki di bawah gunung dan dia diisytiharkan mati kerana mengalami pelbagai kecederaan, termasuk keretakan tengkorak.

Koroner Kirsty Gomersal menyimpulkan kematian doktor itu adalah disebabkan kemalangan. - Metro.co.uk