Tuesday, March 22, 2022

Perghhh !!! Kecoh show roti canai terbang bertukar tragedi, landing atas kepala pelanggan ‘istimewa’...

 

Insiden roti canai terbang yang 'mendarat' atas kepala adik Raihan (baju kuning) di sebuah restoran.

"NAK marah, tapi kena sabar."

Mungkin itulah audio trending media sosial yang paling sesuai digunakan dalam video menunjukkan demonstrasi 'roti canai terbang' di sebuah restoran.

Menerusi video berdurasi 14 saat yang dirakamkan seorang pelanggan, aksi petugas restoran menebar roti canai menjadi tular apabila roti canai yang diterbangkan ke udara 'mendarat' di atas kepala adiknya yang duduk di meja makan dengan reaksi terpinga-pinga.


Bercakap kepada mStar, pelanggan berkenaan, Raihan Harum, 23, berkata, insiden berlaku ketika dia bersama ibu berusia 57 tahun dan adik perempuannya berusia 14 tahun yang juga remaja sindrom down berkunjung ke sebuah restoran roti canai di Bachang, Melaka, pada Sabtu malam.

"Kami baru lepas berniaga air di Taming Sari dan singgah ke kedai roti canai sebelum pulang ke Kuala Lumpur. Pertama kali kami ke restoran tu dan duduk di meja luar.

"Ada show tebar roti canai, siap pasang lagu. Secara kebetulan lagu Michael Jackson bertajuk 'Beat It' yang dipasang dan adik pula memang suka lagu-lagu rancak, jadi dia memang excited tengok show tu," katanya ketika dihubungi.

roti canai terbang 6

Reaksi adik Raihan selepas roti canai jatuh ke atas kepalanya.

Raihan bagaimanapun tidak menyangka roti canai yang ditebar dalam pertunjukan yang dibuat di luar restoran jatuh betul-betul di atas kepala adiknya, Rodyah.

"Adik saya ni sebenarnya suka ajuk, jadi reaksi dia tu secara spontan kononnya tunjuk yang dia marah. Kami dah tahu yang adik ni kuat drama.

"Sebenarnya adik acah-acah marah je, lepas tu dia okay. Adik saya istimewa, jadi dia ada attitude yang tersendiri," katanya yang menetap di Sungai Buloh, Selangor.

roti canai terbang 4

Raihan (kanan) bersama adik perempuannya, Rodyah yang menghidap sindrom down.

Anak kedua daripada empat beradik itu mengakui segelintir masyarakat menganggap penghidap sindrom down mempunyai perwatakan yang agresif.

"Orang luar mungkin ingat adik saya marah, tapi sebenarnya tidak. Kalau kita kenal dan faham perasaan mereka secara mendalam, lebih mudah untuk tackle mereka.

"Apa yang penting jangan berkasar atau ada unsur paksaan. Kena berlembut dengan mereka, buat mereka happy," katanya.

Video yang dikongsi Raihan menerusi aplikasi TikTok meraih lebih 13 juta tontonan.

roti canai terbang 3

Mezan bersama adik Rodyah.

Raihan yang merupakan peniaga makanan dan minuman bersama ibu dan adiknya terhibur sambil menikmati makan malam di restoran berkenaan.

"Pemilik kedai datang ke meja kami dan bagi RM50 sebagai tanda minta maaf, rezeki adik saya. Yang pasti adik gelak terhibur tengok video dia sendiri yang viral," katanya.

Sebenarnya adik acah-acah marah je, lepas tu dia okay. Adik saya istimewa, jadi dia ada attitude yang tersendiri.

RAIHAN HARUM

Sementara itu, pemilik restoran roti canai di Kampung 6, Bachang, Mezan Md Said ketika dihubungi mStar pula tampil menjelaskan kejadian yang berlaku pada Sabtu malam di luar kawalannya, pertama kali berlaku sejak mengusahakan bisnes tersebut pada 2018.

"Pertama kali roti kena kepala, memang tak diduga. Memang tak sangka berlaku dua kali serentak. Roti pertama terkena kepala adik tu dan satu lagi jatuh atas meja pelanggan lain.

"Masa tu saya buat show dengan anak saudara berusia 20 tahun dan dia baru belajar tebar roti canai. Kadang-kadang ada dua orang buat show," ujarnya berusia 43 tahun.

roti canai terbang 2

Mezan mengusahakan kedai roti canai sejak 2018.

Mezan yang berpengalaman menebar roti di sebuah restoran makanan Malaysia di Melbourne, Australia selama empat tahun dari 2014 berkata, dia hanya menyedari pelanggan yang terkena roti canai itu merupakan anak istimewa sebaik tiba ke meja pelanggan.

"Mulanya saya ingatkan budak lain sebab kebetulan ada seorang lagi pakai baju sama warna kuning. Tapi bukan, bila sampai ke meja tengok adik tu rupa-rupanya sindrom down.

"Saya rasa bersalah. Sama ada pelanggan tu sindrom down atau tidak, saya tetap layan semua dengan baik," katanya sambil menambah pertunjukan roti canai terbang yang dilakukannya di restoran sebagai strategi menarik perhatian pelanggan itu dibuat dua sesi pada waktu malam sepanjang restorannya beroperasi setiap hari kecuali Ahad.

roti canai terbang 5

Mezan membuat pertunjukan 'roti canai terbang' di hadapan restorannya.

Dalam pada itu, bapa kepada seorang cahaya mata itu turut menegaskan bahawa roti canai yang digunakan dalam setiap pertunjukan tidak akan dihidang kepada pelanggan.

"Lepas buat show, roti canai tu kami terus buang. Kami hanya hidangkan roti canai yang bukan dibuat untuk show dan memastikan ia bersih untuk pelanggan makan," katanya.