Friday, May 20, 2022

Tragis !!! Jutawan maut Porsche terbabas ketika mahu pecah rekod dunia

 


Eisenberg mengubah suai Porsche 911 Turbo miliknya untuk menjadi kereta jenama itu yang terpantas di dunia. - The Sun UK


LONDON – Seorang jutawan yang maut ketika cuba memecahkan rekod dunia dengan memandu kereta Porsche 911 Turbo dilaporkan mungkin menekan brek terlalu cepat sejurus sebelum nahas berlaku, demikian menurut perbicaraan di mahkamah.

Menurut laporan akhbar The Sun, Zef Eisenberg dalam kejadian pada Oktober 2020 terbabas pada kelajuan 321 kilometer sejam (kmj) ketika cuba melakukan lagak ngeri itu.

Lebih tragis, insiden melibatkan Eisenberg itu berlaku di hadapan isterinya sendiri.

Mangsa yang pada ketika itu berusia 47 tahun cuba membuktikan bahawa dia berjaya mengubah suai Porsche terpantas dunia dengan menguji pandu kereta tersebut di Elvington Airfield, England.

Ketika menamatkan percubaan terakhir hari itu, kereta mewah itu terbalik ketika dipandu pada kelajuan tinggi.

Eisenberg mengalami beberapa kecederaan parah dan menyebabkan dia meninggal dunia di tempat kejadian.

Perbicaraan mahkamah turut diberitahu bahawa ‘payung terjun’ khas yang dipasang Eisenberg di dalam kereta itu mengalami masalah teknikal ketika kemalangan berlaku.

Marsyal perlumbaan, Graham Sykes berkata, semasa insiden, penggunaan payung terjun itu menyebabkan kereta tersebut mula terangkat seolah-olah udara telah masuk ke bawahnya.

Situasi tersebut dikatakan boleh menyebabkan kereta menjadi tidak stabil dan hilang kawalan.

“Malangnya, saya merasakan kesilapan pemandu menyebabkan kemalangan tragis ini terjadi,” kata Sykes. – Agensi