Sunday, June 5, 2022

2,000 teksi motosikal jadi besi buruk selepas larangan penggunaan berkuatkuasa 1 Jun

 


Teksi motosikal di Lagos, Nigeria yang dimusnahkan selepas larangan penggunaannya dikuatkuasakan oleh kerajaan. - BBC


ABUJA, Nigeria – Lebih 2,000 teksi motosikal yang dirampas telah dimusnahkan di bandar terbesar Nigeria, Lagos, berikutan larangan ke atas kenderaan yang dikenali sebagai okadas, lapor Badan Penyiaran British (BBC), semalam.

Tindakan itu dibuat berikutan tragedi yang menyebabkan kematian seorang penumpang lelaki okadas yang mencetuskan kemarahan awam.

Sunday David, seorang jurutera bunyi berusia 38 tahun, terbunuh di kawasan kejiranan mewah Lekki selepas perselisihan faham mengenai tambang yang dikenakan pemandu okadas.

Ads by Kiosked

Larangan itu mendapat reaksi bercampur-campur daripada penduduk tempatan dengan ada yang mengatakan penunggang memandu secara berbahaya manakala yang lain mengatakan menunggang okadas menyediakan peluang kerja penting untuk golongan muda.

Seorang penduduk, Abraham merayu agar larangan yang dikenakan untuk diringankan dengan berkata menunggang okadas memberikan pendapatan penting bagi ramai orang.

“Terdapat kemiskinan di negara ini. Pengharaman total adalah tindakan tidak realistik.

“Inilah yang digunakan oleh sesetengah orang untuk menyara kehidupan,” ujarnya.

Larangan tersebut terpakai kepada enam kawasan kerajaan tempatan iaitu Eti-Osa, Ikeja, Surulere, Pulau Lagos, Tanah Besar Lagos dan Apapa yang berkuat kuasa pada 1 Jun.

Gabenor Lagos, Babajide Sanwo-Olu, yang mengumumkan larangan itu bulan lalu, berkata larangan itu akan mengekang ancaman okadas.

Ads by Kiosked

Penunggang okadas terkenal dengan kecenderungan memandu laju dan mengambil risiko ketika mengharungi kesesakan lalu lintas yang terkenal di bandar itu.

“Nyawa semakin hilang setiap hari, kemalangan yang boleh dielakkan berlaku setiap hari dan penunggang tidak menghormati mana-mana undang-undang jalan raya kita,” katanya. – Agensi