Friday, June 3, 2022

Kejam! Pemeriksa tiket kereta api perdaya ibu muda masuk gerabak kelas pertama, rogol mangsa dengan 3 lelaki lain

 

Kejadian itu berlaku dalam kereta api ekspres Bahauddin Zakaria minggu lalu. Foto: Getty Images

SEORANG pemeriksa tiket kereta api didakwa 'mengumpan' seorang wanita muda masuk ke dalam gerabak kelas pertama sebelum merogolnya beramai-ramai bersama tiga lelaki lain.

Suspek dikatakan telah menawarkan ibu dua anak itu kononnya tempat duduknya dinaik taraf daripada kelas ekonomi kepada gerabak berhawa dingin, ketika kereta api tersebut dalam perjalanan antara Multan dan Karachi.

Sebaik masuk ke dalam gerabak tersebut, pemeriksa tiket itu dan tiga lelaki lain didakwa merogol mangsa secara bergilir-gilir sebelum mengugutnya jika cuba melarikan diri.

Bagaimanapun mangsa berjaya melarikan diri dan melaporkan kejadian tersebut kepada polis.

Ketua Polis, Faisal Shahkar berkata, serangan mengejutkan itu berlaku dalam kereta api ekspres Bahauddin Zakaria minggu lalu.

Suspek melarikan diri ke kawasan terpencil di Pakistan beberapa jam selepas melakukan jenayah tersebut, lapor akhbar Pakistan, Dawn.

Polis bagaimanapun berjaya menahan dua suspek pada Isnin dengan suspek ketiga ditahan pada hari berikutnya.

Pihak berkuasa berkata pemeriksaan perubatan terhadap mangsa mengesahkan dia telah dirogol beramai-ramai.

Kejadian tersebut mencetuskan desakan supaya kesemua pelaku dihukum gantung. - Dailystar