Thursday, June 16, 2022

Tiada masalah antara kami, kata PAS Selangor selepas menghadap sultan

 

Tiada masalah antara kami, kata PAS Selangor selepas menghadap sultan


Pesuruhjaya PAS Selangor Ahmad Yunus Hairi menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam. (Gambar Facebook Selangor Royal Office)

PETALING JAYA: Pesuruhjaya PAS negeri Ahmad Yunus Hairi dipanggil menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi membincangkan perkara berkaitan perayaan Bon Odori.

Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata mereka dihubungi pihak istana semalam memandangkan Sultan Sharafuddin ingin tahu apakah pendirian terhadap pesta yang akan diadakan di Kompleks Sukan Shah Alam, 16 Julai ini.

“Baginda ingin tahu pendirian kami dalam perayaan Bon Odori. Baginda memberi pandangan dan kami juga sampaikan kepada baginda bahawa kami menghormati pendirian baginda.

“Kami memberitahu Tuanku pendirian kami dan yang paling penting, kami memberitahu baginda bahawa kami menyokong peranan istana dalam menyatukan rakyat. Kami tidak mempunyai masalah antara satu sama lain,” katanya menurut laporan New Straits Times.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Roslan berkata, pendirian PAS sama seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad yang menasihatkan umat Islam supaya tidak menyertai perayaan itu.

Beliau berkata, pihaknya akan akur dengan apa diperkatakan Idris yang juga naib presiden PAS, kerana ia sekadar nasihat kepada umat Islam supaya tidak menghadirinya.

Terdahulu, Sultan Selangor dilaporkan menitahkan Yunus menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Dalam catatan di Facebook Pejabat Diraja Selangor, pertemuan itu berlangsung semalam kira-kira sejam.

Pertemuan itu menyusuli kenyataan Yunus pada 10 Jun lalu yang mengingatkan umat Islam tidak mengambil bahagian dalam perayaan Bon Odori.

Sebelum ini, Idris memberitahu umat Islam supaya tidak menghadiri Bon Odori kerana mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah meneliti festival itu mempunyai unsur keagamaan lain.

Bagaimanapun, Sultan Sharafuddin bertitah agar Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak menyekat program kebudayaan Jepun yang akan diadakan di negeri itu dan meminta Idris turun padang melihat sendiri festival berkenaan.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda tidak mahu menteri itu menggunakan platform Jakim untuk membuat “kenyataan yang mengelirukan dan tidak tepat serta boleh menjejaskan imej dan reputasinya”. Kredit FMT

No comments:

Post a Comment

Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..