BANGKOK – Hidangan popular di utara Thailand dinamakan Khao Soi diisytiharkan sebagai sup terbaik di dunia oleh platform penggemar makanan TasteAtlas.com, lapor laman berita Thaiger semalam.
Khao Soi mengungguli senarai ‘50 Sup Terbaik Dunia’ yang diterbitkan pada 25 Julai lalu.
Hidangan Khao Soi berupa sup kari merah yang dicampur daging atau ayam dan mi telur. Ia kemudian ditambah mi rangup, limau nipis segar, kubis jeruk, bawang merah serta cili.
Khao Soi dipercayai dibawa ke utara Thailand oleh pedagang Cina Muslim dari wilayah Yunnan.
Sup itu diperbuat daripada santan dan pes kari merah. Kepedasan hidangan itu pula boleh diubah mengikut selera individu berdasarkan jumlah pes kari yang digunakan.
Perkataan Khao Soi bermaksud ‘nasi potong,’ walaupun hidangan itu menggunakan mi.
Taste Atlas juga mengesyorkan 10 kedai makan untuk Khao Soi terbaik dunia yang kebanyakannya terletak di Chiang Mai, di mana Khao Soi dikenali sebagai hidangan istimewa.
Selain Khao Soi, dua lagi hidangan Thailand turut tersenarai termasuk Tom Yum Kung dan Tom Kha Gai di tempat ke-13 dan ke-14.
Sementara itu, hidangan dari Malaysia iaitu gulai dan laksa masing-masing menduduk tempat ke-20 dan 35 dalam senarai berkenaan. – Agensi
No comments:
Post a Comment
Admin Blog Ini Tidak bertanggung Jawab ke atas komen anda yang menyinggung perasaan orang lain..